fbpx

Dewan Rakyat: Bantuan kewangan bersasar musim haji diteruskan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar untuk musim haji 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata TH juga meneruskan inisiatif bantuan kewangan bersasar itu dari tahun ke tahun, khusus kepada golongan paling memerlukan selaras hasrat kerajaan menstruktur semula subsidi secara bersasar.

“TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan kurang pendapatan untuk mencukupkan perbelanjaan tunai haji mereka.

“Ini adalah bersesuaian dengan peranan Lembaga Tabung Haji mentadbir semua urusan berkaitan pengendalian dan kebajikan jemaah haji Malaysia.

“TH juga sudah dan sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat melalui media, media sosial dan sesi libat urus mengenai kepentingan konsep kemampuan atau istito’ah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jamaludin bin Yahya (Pasir Salak) berkenaan bantuan kewangan kos bayaran haji secara bersasar bagi kategori B40, M40 dan T20 seperti yang telah dilaksanakan pada musim haji tahun ini iaitu 2023, akan diteruskan pada tahun hadapan dan adakah sistem ini adil bagi pendeposit Tabung Haji.

Tambahnya, pada musim haji tahun lalu seramai 67 jemaah B40 dan M40 menolak bantuan kewangan haji yang layak diperoleh mereka, sebaliknya membayar kos penuh haji kerana berpegang kepada syarat istitho’ah atau kemampuan dalam kewajipan menunaikan ibadah itu.

“Seramai 396 jemaah B40 dan M40 pula mengambil inisiatif mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan kewangan haji dengan membuat pembayaran tambahan antara RM1,000 hingga RM12,000, berbanding bayaran haji minima yang dikenakan,” katanya.

Pada musim haji lepas, 1444H/2023M, pecahan peratusan jemaah haji yang terpilih ke Tanah Suci yang memilih secara Muassasah bagi kategori kumpulan B40 dan M40 masing-masing adalah 45.7 peratus dan 52.3 peratus manakala hanya dua peratus sahaja terdiri dari kumpulan jemaah haji T20. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI