JAKARTA – Anak bekas finalis pertandingan Puteri Indonesia 2018, Firsi Alda Feligia menjadi perhatian netizen baru-baru ini selepas dia memanjat ke atas bumbung rumah tiga tingkat kerana mahu mencari ayam, lapor laman berita Republika.
Kanak-kanak bernama Nathan Aqshel Flynn itu dikatakan mencari ayam seperti watak yang sering ditontonnya dalam sebuah lagu kanak-kanak di platform perkongsian video, YouTube.
Lagu tersebut berjudul ‘Bortolito-Kids Songs & Nursery Rhymes’ dan disiarkan di saluran YouTube, The Children’s Kingdom Nursery Rhymes. Ia memaparkan aksi ayam jantan melompat di atas bumbung rumah.
Menurut Firsi, ketika kejadian, mereka sekeluarga gempar kerana Nathan hilang dan gagal dikesan.
Namun, selepas mendengar tangisan kanak-kanak itu, mereka berjaya menemuinya sedang berdiri di atas bumbung rumah setinggi tiga tingkat.
Firsi turut menunjukkan ketinggian bumbung rumah tersebut sambil berkata, dia sukar mempercayai bagaimana anaknya boleh memanjat sendiri.
“Dia naik ke atas sendiri. Ia amat tinggi dan bahaya,” ujarnya.
Tambah Firsi, selepas suaminya berjaya membawa turun Nathan, dia bertanya kepada kanak-kanak itu tujuan dia memanjat bumbung.
“Katanya, dia mahu bertemu dengan ayam kerana menurutnya, setiap bumbung rumah pasti ada ayam,” jelas Firsi pada hantarannya di platform Instagram.
Firsi turut mengingatkan orang ramai agar memantau aktiviti tontonan anak-anak mereka yang masih kecil kerana menurutnya, imaginasi kanak-kanak ada masanya berbahaya. – AGENSI