fbpx

Atlet para negara tuai tiga emas di Hangzhou

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAGUH lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly menghadiahkan emas buat kontinjen Malaysia di Sukan Para Asia Hangzhou 2022.

KONTINJEN Malaysia terus mempamerkan aksi terbaik mereka dalam temasya Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China hari ini apabila berjaya menuai tiga pingat emas.

Paling mencuri tumpuan adalah menerusi kem skuad olahraga negara apabila Malaysia meraih dua pingat emas menerusi jaguh lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly dan juga jaguh lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Abdul Latif terus ‘terbang tinggi’ apabila melengkapkan koleksi kilauan emas ketiga berturut-turutnya di temasya emas tahun sekali itu dengan melakukan lompatan terbaik sejauh 7.18 meter (m).

Lebih manis, seorang lagi atlet negara turut mengiringi Latif ke podium apabila Zulkifly Abdullah melakukan lompatan 6.48m untuk melangkapkan pingat gangsa.

ziyad
JAGUH lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mempertahankan pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 pada Sukan Para Asia Hangzhou 2022.

Sementara itu, Ziyad menunaikan janjinya apabila meraih emas dalam acara kegemarannya iaitu lontar peluru lelaki (F20) selepas tampil cemerlang dengan catatan 16.65m dan Mohamad Aliff Mohamad Awi meraih perak (13.75m)

Kem olahraga turut menyumbang pingat perak dalam acara 100m kategori T44 (kecacatan fizikal) menerusi Eddy Bernard dengan catatan masa 11.86s dan hanya ketinggalan 0.26s di belakan pemenang pingat emas dari Sri Lanka, Nuwan Indika Gamage.

Pungutan pingat emas kontinjen negara tidak terhenti di situ apabila skuad berbasikal para negara turut cemerlang menerusi pelumba berbasikal trek para negara, Nur Suraiya Muhammad Zamri dalam acara ujian masa 1,000 meter (m).

Bergandingan dengan jurumudi Farina Shawati Mohd Adnan, Nur Suraiya menamatkan saingan tersebut dengan catatan masa satu minit 13.434 saat (s).

Lebih menggembirakan Malaysia meraih kemenangan 1-2 selepas pingat perak tersebut turut disambar gandingan Nur Azlia Syafinaz Mohd. Zais dan Nur Suhada Zainal apabila mencatat masa satu minit 14:083s.

Impian skuad berbasikal lelaki negara untuk meraih emas dalam acara ujian masa 1,000 meter (m) tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati meraih pingat perak apabila Mohd. Khairul Hazwan Mohd. Wahab dan jurumudi, Muhammad Khairul Adha Rasol selepas menamatkan saingan itu dengan catatan satu minit 5.740s.

Hasil keputusan tersebut, Malaysia kini sudah mengumpul empat pingat emas selepas Muhammad Nur Syaiful Zulkafli muncul sebagai penyumbang pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia menerusi acara 100 meter (m) kuak dada kategori SB4 semalam. -KOSMO! Online

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN