fbpx

T20 mengeluh, kemuka bantahan cukai harta naik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. JAFNI.

JOHOR BAHRU – Golongan T20 paling ramai mengeluh dan mengemukakan bantahan berhubung kenaikan kadar cukai harta yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, bantahan itu diterima membabitkan pemegang hartanah di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Kluang (MPK) dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).

Katanya, bantahan itu dibuat setelah kenaikan ketara cukai harta membabitkan hartanah yang tinggi di kawasan berkenaan.

“Mereka merasakan cukai harta tidak berubah banyak, namun harga rumah yang dahulunya RM200,000 kini sudah bernilai sehingga RM800,000, ia bergantung lokasi. Mereka perlu tahu bayaran cukai berdasarkan nilai sebenar hartanah semasa.

“Bagi perumahan jenis apartment, kita kekal harga lama sebab jualan agak terhad. Bagi Rumah B40 Pula, kebanyakan PBT mengenakan kadar kenaikan tidak banyak sekitar RM20 hingga RM60 selepas 10 tahun tidak dinaikkan cukai ini.

“Ini bermakna di peringkat kerajaaan ambil pandangan B40 ke bawah golongan, ini kita jaga. Mereka yang membantah kenaikan cukai ini majoritinya daripada golongan T20,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Publisiti Awal Rancangan Tempatan MBJB di Menara MBJB di sini hari ini.

Katanya, hanya satu peratus daripada 350,000 pegangan hartanah dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengemukakan bantahan tersebut.

Mohd. Jafni memberitahu, pemilik hartanah yang tidak berpuas hati masih boleh mengemukakan bantahan kepada PBT dalam tempoh 14 hari.

“Selepas itu, pihak PBT akan mendengar bantahan dan beberapa proses lagi sebelum ia dilaksanakan pada 1 Januari tahun depan.

“Setakat ini terdapat lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menaikkan kadar cukai harta selaras dengan kenaikkan nilai hartanah semasa,” katanya.

Ia melibatkan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) MBJB, MPK, MPP, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Cukai Harta atau Cukai Taksiran adalah cukai yang dikenakan ke atas setiap pegangan berkadar termasuklah tanah kosong di dalam kawasan PBT mengikut kuasa yang diberikan dibawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI