fbpx

Kaut untung RM30,000 sehari promosi judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YAHAYA menunjukkan antara peralatan dirampas daripada sindiket perjudian dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kuantan.

KUANTAN – Satu sindiket perjudian dalam talian yang menjadikan rumah sewa di Kubang Buaya di sini sebagai pusat operasi berjaya dilumpuhkan pihak polis.

Dalam serbuan pada 20 Oktober lalu, seramai 12 individu termasuk empat wanita ditahan kerana menjalankan aktiviti mempromosi perjudian melalui komputer dan telefon bimbit di rumah sewa berkenaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kesemua suspek terdiri dari lapan lelaki dan tiga wanita warga tempatan berumur antara 17 dan 43 tahun itu ditahan di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Katanya, pemeriksaan lanjut di tingkat bawah rumah berkenaan pula menemukan seorang wanita warga Indonesia disyaki sebagai tukang masak dan pencuci pakaian mereka.

“Siasatan mendapati rumah yang disewa sindiket itu dijadikan sebagai lokasi mempromosikan perjudian melalui aplikasi Telegram dan WeChat sebagai perhubungan dengan pelanggan dari China.

“Lebih 50 perjudian disediakan sindiket terbabit melalui laman sesawang perjudian yang beroperasi setiap hari selama 12 jam iaitu bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Susulan penahanan suspek itu, polis merampas sebanyak 280 buah telefon bimbit, 14 buah komputer riba, 14 keping kad sim, dua set Wi-Fi dan satu modem serta 110 keping kad bank negara China.

Siasatan mendapati kesemua suspek dibayar RM2,000 dan RM6,000 seorang oleh sindiket yang berpangkalan di Filipina dan China.

“Sindiket ini mampu mengaut keuntungan RM30,000 sehari dan sudah memperoleh RM1.11 juta dalam masa 37 hari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI