Tidak dinafikan, Belanjawan 2024 yang diumumkan baru-baru ini banyak tertumpu kepada golongan B40 atau golongan yang berpendapatan rendah.
Selain penambahan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada RM3,700, kumpulan itu turut mendapat manfaat menerusi subsidi barangan keperluan asas dan Payung Rahmah.
Ada antara golongan M40 yang berpendapat belanjawan kali ini tidak memihak kepada mereka.
Mengulas perkara itu, Pakar Ekonomi yang juga Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof. Madya Dr. Ahmad Razman Abdul Latiff menyifatkan Belanjawan 2024 seimbang dengan memfokuskan kepada semua rakyat.
“Pembentangan belanjawan kali memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan rendah, menoktahkan kemiskinan tegar, merapatkan jurang kekayaan dan pendapatan antara rakyat.
“Yang menarik adalah naik taraf infrastruktur, kemudahan internet seperti 5G, dasar gaji progresif dan optimis menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.
“Semua ini adalah peluang kepada M40 untuk menambahkan pendapatan dan gaji yang lebih kompetitif. Dengan kemudahan yang baik misalnya talian internet, pengangkutan dan kemasukan FDI yang lebih banyak ia membuka banyak peluang pekerjaan yang menjanjikan gaji yang tinggi,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Beliau berkata, semua manfaat yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2024 untuk M40 dapat menaik taraf dan meningkatkan kualiti kehidupan ke arah lebih baik.
“Bantuan untuk kumpulan M40 ada, tetapi memerlukan kerjasama kedua-dua pihak (M40 dan kerajaan).
“Golongan M40 perlu ambil peluang daripada belanjawan yang disediakan. Mereka perlu gembleng tenaga mendapatkan keistimewaan yang ditawarkan.
“Itu kelainan untuk M40 berbanding B40 yang tersedia dengan bantuan seperti STR.
“Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan ‘suap’ untuk kedua-dua golongan. Menerusi 5G mungkin mereka boleh terlibat perniagaan secara dalam talian atau di media sosial,” ujarnya.
Jelas beliau, rakyat perlu meneliti setiap intipati dalam Belanjawan 2024 tersebut jika mahu berubah dan mendapatkan kehidupan yang lebih terjamin.
“Kita (M40) tidak boleh tunggu sahaja pengumuman bantuan, sebaliknya cari dan lihat inisiatif yang sesuai untuk membantu tingkatkan kualiti hidup.
“Banyak peluang yang ditawarkan, terpulang kepada kita untuk ambil atau tidak,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, Mohideen Abdul Kader pula berkata, Belanjawan 2024 secara amnya adalah menyeluruh memandangkan ia termasuk peralihan kepada ekonomi rendah karbon dan bentuk tenaga mampan.
“Belanjawan itu turut menyentuh konflik hidupan liar, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar selain melanjutkan perkhidmatan bas henti-henti ke laluan penumpang yang rendah di kawasan luar bandar.
“Walau bagaimanapun, peruntukan mestilah dibelanjakan dengan cekap tanpa sebarang ketirisan.
“Perlu ada penyeliaan dan pemantauan yang berkesan terhadap cara peruntukan Belanjawan 2024 dibelanjakan untuk memastikan hasil yang dirancang tercapai,” kata beliau.
Bagi penulis, kita semua perlu bersedia dengan kehidupan mencabar pada tahun hadapan bukan sahaja buat golongan yang berkeluarga yang pendapatan selesa, malah kumpulan mereka yang masih bujang.