PETALING JAYA – Gelagat seorang warga emas melakukan tekan tubi menggunakan tiga jari berjaya menarik perhatian netizen di laman TikTok.
Menurut pengguna yang memuat naik video tersebut, warga emas itu merupakan bekas anggota batalion ke-17, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
“Meskipun umurnya sudah menjangkau 78 tahun, dia masih sihat dan bersemangat,” kata pengguna tersebut di ruangan kapsyen.
Meninjau ke ruangan komen, orang ramai meluahkan rasa kagum terhadap keupayaan warga emas itu walaupun umurnya telah lanjut.
“Pak cik ini sudah 78 tahun. Kalau masih berusia 20-an, tidak tahulah macam mana badan pak cik ini. Mesti macam Bruce Lee,” kata Azim.
“Orang tua saya juga bekas batalion ke-17 RAMD. Sudah bersara tahun 1991. Misinya yang terakhir di Namibia. Alhamdulillah, masih sihat,” kata pengguna lain.
“Guna tiga jari sahaja. Saya baru berusia 25 tahun. Kalau ada 250 jari pun belum tentu boleh naik macam tu,” kata Wb.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 59,400 tanda suka dan 962 komen. – KOSMO! ONLINE