SEKALIPUN berjaya meraih kemenangan 2-1 ke atas Kuala Lumpur City pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kelmarin, pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner mengakui sangat kecewa.
Mengambil kira deretan peluang yang terhidang, Steinbruckner mengakui bahawa skuad kendaliannya layak untuk mendapat lebih banyak jaringan dan mampu pulang ke Kuala Terengganu dan menantikan aksi berikutnya dengan lebih selesa.
“Kami berhak raih kemenangan dan sepatutnya dengan jumlah jaringan lebih banyak. Namun, kami kini kena membuat persiapan rapi untuk perlawanan kedua. Pada pendapat saya, kami patutnya mampu mendapatkan lebih banyak gol dan bukannya hanya bawa balik bekal satu jaringan.
“Segalanya masih lagi terbuka, namun saya perlu ucapkan tahniah kepada seluruh pasukan. Apapun saya tetap puas hati kerana mampu cipta peluang dan saya ada beritahu Nenad Bacina (jurulatih KL City), dia boleh rasa gembira kerana kami hanya mampu menang 2-1,” katanya.
Segalanya sempurna buat Terengganu apabila Ivan Mamut dan Nik Sharif Haseefy meletakkan mereka di depan, namun kesilapan pada masa kecederaan memberi jaringan buat KL City selepas Tchetche Kipre menyempurnakan sepakan penalti.
Menyedari peminat sudah pun menanti 22 tahun untuk membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Terengganu, Steinbruckner sedar tanggungjawab berganda menanti anak buahnya kerana percaya KL City bakal tampil lebih garang terutamanya dengan kehadiran semula Romel Morales dan Paulo Josue.
“Ketika saya berjumpa dengan pengurusan, kami sudah tetapkan sasaran dalam Piala Malaysia dan fokus kami adalah untuk ke Bukit Jalil. Kali ini kami tetap raikan kemenangan, namun kena bersiap sedia kerana saya jangka, Romel dan Paulo akan kembali,” katanya.