fbpx

Pengurus, pekerja didakwa guna gambar Tengku Bendahara Kelantan untuk iklan kedai emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis mengiringi Aznizan (dua dari kiri) dan Nor Asri (dua dari kanan) untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/ KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang pengurus dan pekerja sebuah kedai emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan gambar Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail Petra tanpa kebenaran untuk mengiklankan perasmian premis mereka di Facebook, minggu lalu.

Tertuduh, Aznizan Yusof,46, dan Nor Asri Che Husin, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, wanita dan lelaki itu didakwa menggunakan perkhidmatan rangkaian laman sosial Facebook secara sedar dengan memuat naik gambar iklan perasmian Kedai Emas A&K Gold And Jewelleries oleh Tengku Bendahara Kelantan tanpa kebenaran.

Perbuatan mereka itu dilakukan dengan niat untuk menyakiti dan mengganggu institusi Kesultanan Kelantan di Kampung Pasir Kota di sini kira-kira pukul 6.55 petang pada 16 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan
yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Akmal Mohd. Bakri manakala tertuduh diwakili peguam, Saiful Adli.

Terdahulu, Nur Akmal tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Aznizan dan Nor Asri.

Saiful dalam rayuannya memohon kedua-dua anak guamnya diberikan jaminan kurang daripada RM10,000 memandangkan kes berkenaan boleh diikat jamin selain kedai emas tersebut baru dibuka seminggu lalu.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 23 November depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI