fbpx

NHCCE 2023 platform utama tangani cabaran modal insan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivakumar (tengah) menyempurnakan acara pra-pelancaran NHCCE 2023 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pameran & Persidangan Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023, yang bakal diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Oktober ini bakal menjadi platform bagi organisasi mentransformasikan pendekatan mereka terhadap pembangunan modal insan dalam suasana pasaran global yang pesat berubah.

Persidangan pembangunan modal insan terbesar di Asia Tenggara itu bakal menghimpunkan komuniti global yang berfikiran ke hadapan, pemimpin pemikiran dan pakar industri untuk berkongsi pandangan dan perspektif dalam berdepan cabaran semasa dalam sumber manusia (HR).

Acara tahunan perdana oleh HRD Corp, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang mengetengahkan tema ‘Merintis Pertumbuhan, Menginspirasikan Perubahan’ itu memberi tumpuan kepada pemerkasaan pemimpin dan pengamal HR supaya mereka mengambil pendekatan baharu terhadap peranan masing-masing.

Ia menerusi penerimaan pemikiran, teknologi dan proses baharu yang akan memacu kecekapan, kepantasan, inovasi serta produktiviti di tempat kerja.

NHCCE tahun ini adalah kali yang kedua diadakan selepas penjenamaan semula Persidangan & Pameran HRDF pada 2021, kepada NHCCE tahun lalu.

NHCCE 2022 merupakan satu kejayaan besar tahun lepas, setelah menarik lebih 2,000 perwakilan dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Antara personaliti tempatan yang bakal membuat penampilan di NHCCE 2023 pada 30 dan 31 Oktober ini.

Pas masuk ke NHCCE 2023 kini dibuka untuk pembelian, yang mana Pas Standard berharga RM2,500, manakala Pas Kumpulan boleh didapati dengan harga RM2,250 setiap orang, dengan syarat sekurang-kurangnya tiga peserta.

Penjawat awam pula hanya perlu membayar RM2,000 untuk Pas Kerajaan, sementara pelajar dikenakan bayaran RM500 untuk mendapatkan Pas Pelajar.

Menurut HRD Corp, organisasi dan pengamal HR hari ini menghadapi pelbagai gangguan termasuk kekurangan bakat global, teknologi baharu, pengaturan kerja hibrid dan fleksibel, permintaan bakat yang meningkat dan budaya kerja yang semakin berkembang.

Pada masa sama, rantau Asia Tenggara yang telah menyaksikan lantunan daripada pandemik kini berada dalam kedudukan unik dengan ekonomi perindustrian sedang berkembang pesat, penuaan populasi, dan perkembangan rangkaian kesalinghubungan yang mengubah situasi geopolitik.

“Situasi ini menimbulkan kebimbangan tentang masa depan pekerjaan dan perkara yang memberi makna kepada bakat di rantau ini.

“NHCCE 2023 bertujuan membantu organisasi mengharungi cabaran ini dengan mendalami pelbagai isu pembangunan modal insan dan membincangkan kaedah untuk menggerakkan tenaga kerja supaya membuka nilai baharu sambil memupuk kemajuan peribadi serta kemahiran profesional mereka,” katanya.

Antara 30 tokoh penceramah yang bakal membuat penampilan dalam NHCCE 2023 termasuk Dave Ulrich, yang sering dianggap sebagai Bapa HR Moden dan pengarang terlaris, penceramah global serta pemimpin dunia dalam transformasi manusia, Dr. Justin Cohen.

Peserta berpeluang mendengar sendiri perkongsian daripada Dave Ulrich, yang digelar sebagai Bapa HR Moden.

Turut dijadualkan hadir ialah pemimpin pemikiran yang diiktiraf di peringkat global dan penceramah utama yang mendefinasikan industri HR, iaitu Eric Termuende.

Sementara penceramah dari Malaysia pula termasuk Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan, Maybank, Datuk Nora Manaf; atlet seni bela diri campuran (MMA) wanita pertama negara dan Pengarah Urusan School of Ultimate Learning, Ann Osman; dan Ketua, UST Global (M) Sdn. Bhd., Amar Chhajer.

Selain itu, NHCCE 2023 turut menampilkan lebih daripada 400 pempamer terkemuka, yang menyajikan trend terkini dalam trend peningkatan kemahiran, teknologi baharu dan platform kesejahteraan.

Dalam pada itu, Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar pada majlis pra-pelancaran acara tersebut baru-baru ini berkata, NHCCE 2023 menggalakkan inovasi dan menyediakan ruang untuk perbincangan yang merangsang pemikiran tentang trend serta strategi masa depan.

“Kami percaya persidangan ini akan mengangkat Malaysia ke persada global untuk muncul sebagai hab ekonomi serantau yang kukuh.

“Ia sekaligus memacu pelaburan asing berkualiti, seterusnya menyediakan peluang pekerjaan lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.hrdcorp.gov.my.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI