KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemegang saham i-Serve bagi membantu siasatan berhubung isu pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan seorang pengasas syarikat penerbangan tambang rendah bergelar ‘Datuk’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan di rumahnya di Bangsar, di sini, kira-kira pukul 1 pagi tadi.
“Suspek keempat ini akan dibawa Lokap Berpusat Jinjang, di sini untuk tahanan reman.
“Setakat ini, JSJK PDRM telah merampas 12 buah kenderaan dari dua suspek, dokumen berkaitan i-Serve Technology dan Vacation Sdn Bhd.
“Selain itu, kita turut merampas enam jam tangan mewah, beg tangan mewah (8), komputer riba (2), satu set komputer dan barang kemas (10),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut berhubung suspek utama kes tersebut, Ramli memaklumkan lelaki berusia 57 tahun yang bergelar ‘Datuk’ akan dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
“Reman suspek utama tamat pada hari ini dan akan dibebaskan dengan jaminan polis.
“Siasatan masih diteruskan dengan fokus semakan dokumen penting dalam transaksi perniagaan i-Serve,” jelasnya.
Terdahulu pada 17 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan penahanan seorang pengasas bersama dan pemegang saham sebuah syarikat penerbangan bergelar ‘Datuk’ serta isteri dan anak lelakinya.
Kesemua suspek itu ditahan bagi membantu siasatan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. -KOSMO! ONLINE.