fbpx

Mahkamah: Pelajar ijazah sarjana mengaku salah terima suapan RM9,700

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH dibawa keluar selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Seorang pelajar ijazah sarjana sebuah universiti tempatan mengaku bersalah atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM9,700 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini.

Tertuduh, Rozairi Ismail, 33, membuat pengakuan terbabit ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, Rozaimi yang ketika itu bertugas sebagai pekerja sambilan harian (PSH) di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, didakwa menerima suapan wang tunai antara RM200 hingga RM3,000 daripada dua individu berbeza yang dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh.

Perbuatan tersebut dilakukan di Maybank Islamic Berhad Cawangan Bandar Pusat Jengka, Maran, antara 24 Julai 2020 hingga 2 Januari 2021.

Berdasarkan kertas pertuduhan itu juga, tertuduh didakwa menerima suapan bagi memberikan maklumat awal berkaitan dengan projek-projek di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Tertuduh juga didakwa gagal melaporkan pemberian sogokan tersebut kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) Akta yang sama.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zahida Muhammad Ruzi dan Pegawai Pendakwa raya SPRM, Ikhwan Ikhsan Jalaluddin yang meminta tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin selain meminta tertuduh melaporkan diri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya sebulan sekali selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Selain berhadapan dengan 15 pertuduhan terbabit, tertuduh juga difahamkan turut berhadapan satu lagi pertuduhan sama yang akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, dan Nur Zahida meminta mahkamah agar pertuduhan tersebut dilakukan di Mahkamah Sesyen Kuantan.

Tertuduh yang diwakili peguam, Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi, meminta agar ikat jamin dikurangkan berikutan tertuduh yang masih bujang itu kini bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan.

“Tertuduh kini sedang menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana dan sejak lebih setahun ditangkap iaitu pada April 2022 dan telah diberi jaminan SPRM, tertuduh tidak pernah gagal memberikan kerjasama dan melaporkan diri setiap bulan kepada SPRM.

“Tertuduh dimaklumkan tentang pertuduhan ke atas dirinya hanyalah pada 11 Oktober lalu yang mana tertuduh hanya mempunyai masa lebih kurang seminggu untuk mengumpul wang jaminan dan saya dimaklumkan tertuduh hanya mempunyai wang jaminan terkumpul sebanyak RM2,000 sahaja,” katanya.   – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI