fbpx

Mahkamah: Bapa tiri rotan anak gagal jawab soalan Matematik didenda RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Gara-gara merotan anak tirinya kerana berang kanak-kanak lelaki itu gagal menjawab soalan Matematik, seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman denda terhadap bapa tiri berusia 38 tahun itu, selepas lelaki tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda selain berkelakuan baik dengan bon jaminan tanpa cagaran selama lima tahun serta menjalani khidmat kaunseling keibubapaan yang dianjurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Tertuduh juga turut diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun menggunakan rotan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Wangsa Maju, di sini pukul 6 pagi pada 23 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan ibu bapa lain supaya tidak melakukan perbuatan sama.

“Gelaran ayah (ayah tiri) bukan lesen untuk memukul mangsa sedemikian bagi tujuan mendisiplinkan mangsa. Mangsa beritahu ayahnya yang pukul dan hanya kesalahan Matematik mangsa tidak sepatutnya dipukul seperti itu. Mangsa memerlukan kasih sayang seorang ayah kerana ayah dan ibunya bercerai,” katanya.

Bagaimanapun peguam Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda yang rendah kerana anak guamnya menanggung keluarga dan isterinya yang juga ibu kandung mangsa kini sedang mengandung empat bulan selain memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.

Berdasarkan fakta kes, pada 16 Jun lalu, Bahagian Pasukan Sekolah Klinik Kesihatan Kuala Lumpur pergi ke sebuah sekolah rendah di sini untuk melakukan pemeriksaan kesihatan dan pemberian imunisasi vaksin untuk murid Tahun Satu di sekolah itu.

Jururawat bertugas dan pegawai perubatan membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan menemui kesan lebam pada bahagian lengan sebelum menghubungi guru kelas mangsa dan mencadangkan pihak sekolah melaporkan ke pihak JKM melalui Talian Kasih.

Kejadian telah dilaporkan 23 Jun lalu selepas mangsa memberitahu dia dipukul ayahnya kerana tidak boleh menjawab soalan Matematik.

Guru kelas mangsa meletakkan minyak pada lukanya dan beberapa pegawai JKM hadir serta membawa mangsa berjumpa doktor dan mendapati pelajar itu mengalami kecederaan ‘soft tissue injury over posterior left knee dan posteriour right cart’ yang berpunca daripada rotan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI