JASIN – Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini bertungkus-lumus lebih 20 jam memadam kebakaran ladang sawit berhampiran Kampung Seri Mendapat yang terbakar sejak petang semalam.
Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan 1 (KUP) Mohd. Sukur Md. Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.04 petang dan tiba di lokasi kejadian sembilan minit kemudian.
Katanya, seramai 12 anggota dari BBP Merlimau dibantu balai bantuan BBP Jasin bersama jentera dihantar ke lokasi.
“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian didapati telah berlaku kebakaran di kawasan tanaman kelapa sawit seluas 5.3 hektar.
“Kerja pemadaman dilakukan dengan menggunakan satu aliran untuk memadam sisa-sisa kebakaran,”katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Sukur, setakat pukul 12 tengah hari ini, kira-kira 90 peratus atau 4.8 hektar kawasan kebakaran berjaya dipadamkan.
“Operasi pemadaman masih berjalan untuk memastikan tanah jenis gambut di ladang ini tidak mempunyai bara yang boleh mencetuskan kembali kebakaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE