fbpx

Konflik Palestin-Israel: Kanak-kanak Gaza alami trauma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK yang cedera dalam serangan udara tentera Israel dirawat di Hospital Nasser, Khan Yunis, 17 Oktober lalu. - AFP

BANDAR GAZA – Kanak-kanak Gaza semakin kerap menunjukkan gejala-gejala trauma selepas dua minggu hidup dalam situasi pengeboman bertubi-tubi askar Israel serta ketiadaan tempat berlindung yang benar-benar selamat daripada ancaman peluru tentera Zionis, lapor akhbar Arab News.

Daripada 2.3 juta populasi Gaza, separuh daripadanya terdiri daripada kanak-kanak.

Dengan keadaan konflik yang semakin buruk, sebahagian besar daripada mereka memenuhi pusat-pusat perlindungan di beberapa buah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas melarikan diri dari rumah bersama keluarga.

“Kanak-kanak mula menunjukkan gejala-gejala trauma yang serius seperti sawan, membuang air kecil dalam seluar, ketakutan, sikap agresif, keresahan dan enggan berenggang dengan ibu bapa,” kata seorang pakar psikiatri, Fadel Abu Heen.

Tambah Fadel, kekurangan pusat perlindungan yang selamat telah menimbulkan rasa takut dan bimbang dalam kalangan penduduk terutamanya kanak-kanak yang paling teruk terjejas.

“Sesetengah daripada mereka bertindak balas secara langsung dan menyatakan ketakutan mereka. Sekurang-kurangnya mereka berada dalam keadaan lebih baik berbanding kanak-kanak lain yang memendam rasa takut dan trauma dalam diri,” jelasnya.

Lebih 4,100 penduduk Palestin terbunuh di Gaza setakat ini termasuk lebih 1,500 daripadanya ialah kanak-kanak. Seramai 13,000 lagi mengalami kecederaan, demikian menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Keadaan di pusat perlindungan sementara di sekolah-sekolah PBB, di mana lebih 380,000 orang berlindung dengan harapan untuk melarikan diri dari pengeboman, dilihat semakin sukar.

Di sesetengah lokasi, terdapat 100 orang tidur di setiap bilik darjah, yang mana semuanya memerlukan pembersihan berterusan. Namun, dengan terdapat hanya sedikit bekalan elektrik dan air, keadaan bilik mandi dan tandas sangat kotor.

“Anak-anak kami semakin menderita. Mereka menangis sepanjang malam dan membuang air kecil dalam seluar tanpa sengaja.

“Saya tidak sempat membersihkan semuanya kerana seorang demi seorang bersikap begitu,” kata seorang ibu kepada enam anak, Tahreer Tabash.

Menurut Tahreer, dia melihat beberapa serangan peluru berpandu mengenai bangunan-bangunan berdekatan, menyebabkan lokasi sekolah sekali pun kekal tidak selamat.

“Apabila anak-anak saya mendengar bunyi bising walaupun hanya bunyi kerusi dialihkan, mereka melompat ketakutan,” ujarnya.

Dalam pada itu, di sebuah rumah di Khan Yunis yang menempatkan kira-kira 90 orang termasuk 30 berusia bawah 18 tahun, penghuninya terpaksa tidur mengikut giliran kerana kekurangan ruang.

“Apabila berlaku letupan atau mana-mana sasaran berhampiran terkena serangan, mereka (kanak-kanak) menjerit dan ketakutan.

“Kami cuba menenangkan mereka dengan memberitahu bahawa ia hanya bunyi mercun. Hanya orang dewasa yang lebih memahami apa sebenarnya berlaku,” kata seorang jurutera yang berlindung di rumah itu, Ibrahim Al-Agha.

Awal kelmarin, selepas satu serangan udara tentera Israel memusnahkan sebuah bangunan di Bandar Gaza, sekumpulan besar kanak-kanak berdiri menyaksikan anggota penyelamat dan orang ramai mengeluarkan mayat dari runtuhan serta mereka yang selamat.

Ketika beberapa wanita meratap dan menangis, kanak-kanak berkenaan dilihat hanya memerhatikan situasi tersebut tanpa menunjukkan sebarang reaksi pada wajah mereka. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI