BANDAR GAZA – Lebih 400 penduduk Palestin terkorban di Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam yang lalu akibat pengeboman tanpa henti askar Israel, lapor laman berita Middle East Monitor hari ini.
Ia menjadikan semalam sebagai hari yang paling banyak meragut nyawa sejak peperangan bermula 7 Oktober lalu.
Serangan askar Rejim Zionis bertumpu di Jabaliya dan Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza, kawasan kejiranan Al-Remal di tengah Gaza, kem pelarian Al-Shati di barat serta Khan Yunis dan Rafah di selatan.
“Pada penghujung hari ke-16 pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza yang telah berlangsung sejak 7 Oktober, lebih 400 rakyat mati syahid dengan majoriti kanak-kanak dan wanita,” kata sumber perubatan kepada agensi berita WAFA.
Sumber tersebut menambah, peratusan kematian kanak-kanak, wanita dan warga emas mencecah kira-kira 70 peratus.
“Seramai 44 rakyat Palestin terkorban di Khan Yunis, 57 di Rafah, 168 di wilayah tengah, 66 di Gaza dan 44 di utara.
“Enam penduduk turut terkorban manakala 11 lagi cedera dalam pengeboman sebuah rumah di Rafah,” ujarnya.
Bagi hari ke-16 berturut-turut, askar Zionis terus menyasarkan Gaza dengan serangan udara yang memusnahkan seluruh kawasan kejiranan, menyebabkan 4,651 orang terbunuh termasuk 1,873 kanak-kanak dan 1,023 wanita.
Sementara itu, 14,245 penduduk cedera, demikian menurut Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza.
Terdapat juga penduduk yang hilang dan dianggap meninggal dunia di bawah runtuhan. – AGENSI