BANDAR GAZA – Rejim Zionis memusnahkan lima lagi masjid di Semenanjung Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan masjid yang musnah sejak pertempuran pada 7 Oktober lalu meningkat kepada 31, lapor laman berita Middle East Monitor semalam.
“Bilangan masjid yang musnah sepenuhnya sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza meningkat kepada 31,” kata Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama yang berpangkalan di Gaza dalam satu kenyataan semalam.
Kementerian berkenaan kelmarin turut memaklumkan mengenai pengeboman askar Israel ke atas beberapa lokasi awam seperti ibu pejabat kementeriannya, stesen radio al-Quran dan sebuah gereja.
Menurutnya, 10 kakitangan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama turut terkorban dalam serangan tersebut, manakala beberapa yang lain cedera.
Pejuang Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel 7 Oktober lalu dalam misi dinamakan Operasi Taufan Al-Aqsa.
Menurut kumpulan tersebut, serangan dilakukan sebagai tindak balas terhadap serbuan Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka haram Israel ke atas penduduk Palestin.
Sekurang-kurangnya 4,385 rakyat Palestin termasuk 1,756 kanak-kanak dan 1,000 wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, manakala angka itu mencatatkan lebih 1,400 orang di Israel. – AGENSI