PETALING JAYA – Dikecam bertalu-talu dek nyanyian yang didakwa tidak sebagus dan setara dengan ilmu vokal dimiliki, juri All Stars Gegar Vaganza (GV10), Datuk Syafinaz Selamat langsung tidak terguris, malah menerima kritikan tersebut dengan hati terbuka.
Jelas guru vokal berpengalaman itu, dia percaya muzik sifatnya sangat besar dan terpulang kepada pendengar mahu menyukai mahupun sebaliknya.
“Pada saya muzik itu besar (universal), ada suka, ada yang tidak suka, terlalu subjektif untuk dibahaskan.
“Saya okey dengan apa jua kritikan kerana komen bukanlah perkara baharu dalam perjalanan karier seni saya.
“Kalau saya rasa komen itu betul, saya akan ambil dan perbaiki diri, saya nilai diri saya sendiri malah sedaya upaya improvise mana yang boleh,” katanya kepada Kosmo! Online.
Dianggap tidak sepatutnya melakukan kesalahan nyanyian memandangkan dirinya bergelar guru vokal, Syafinaz berpendapat bahawa tiada manusia yang sempurna.
“Jadi manusia perlu sempurna dalam semua perkara? Pada akhirnya kita tetap manusia tak sempurna dan selalu cenderung untuk melakukan kesalahan.
“Tak dinafikan, kadang-kadang saya juga merasakan persembahan saya teruk dan bersetuju dengan pandangan segelintir netizen.
“Kalau orang kata tak sedap dan saya dengar pun memang agak sumbang, saya nak kata apa lagi?, melalui itu saya harus belajar daripada kesilapan diri sendiri,” ujarnya panjang lebar.
Sebelum ini, persembahan Syafinaz, 50, menuai perhatian ramai apabila persembahan membawakan lagu berjudul Europa dan Persis Salju dikatakan sumbang selain terlalu banyak kesalahan dalam nyanyian.
Tidak cukup dengan itu, terdapat segelintir netizen mempertikaikan sebutan Syafinaz dalam lagu tersebut dikatakan kurang jelas selain tidak menyanyi di notasi muzik yang sempurna. — KOSMO! ONLINE.