PUTRAJAYA – Komuniti setempat termasuk jiran, guru dan ahli keluarga termasuk orang awam boleh didakwa di mahkamah jika gagal melaporkan dan menyembunyikan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya mendapati tidak ramai saksi terutama yang rapat dengan mangsa jenayah seksual (kanak-kanak) tampil membuat laporan mengenai kes itu.
Beliau berkata, pihaknya mahu komuniti itu dilibatkan sepenuhnya bagi melancarkan prosiding siasatan kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak di negara ini.
“Kes jenayah seksual kanak-kanak bukan hanya membabitkan mangsa (kanak-kanak) dan suspek sahaja tetapi jiran, cikgu sekolah dan ahli keluarga boleh dilibatkan jika mereka gagal buat laporan.
“Ini (tindakan) yang saya nak buat secara agresif. Sebab jika jiran tahu, cikgu tahu dan ahli keluarga tahu tetapi diam dan tidak mahu terlibat maka, kes dihadapi mangsa akan bertambah sulit.
“Kita kena kejar mereka kerana peruntukan itu sudah ada dalam undang-undang. Inilah cara kita nak bagi perlindungan secara menyeluruh kepada mangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan aplikasi eKlinik 6G Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di sini hari ini.
Katanya, sehingga kini, belum ada mereka yang didakwa berkaitan isu itu walaupun ia sudah termaktub dalam Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Azalina berkata, beliau dan pihak mahkamah akan bertemu dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman esok bagi membincangkan perkara itu.
Menurutnya, peruntukan itu perlu dilaksanakan secara lebih ketat selepas ini sekali gus memberi pembelaan kepada mangsa jenayah seksual kanak-kanak. – KOSMO! ONLINE