fbpx

Insentif baharu galak penoreh getah hasilkan lateks

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadillah (dua kiri) mengadakan lawatan ke Pusat Pengumpulan Lateks di Dewan Kampung Orang Asli Kampung Menderang, Sungkai hari ini. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

TANJUNG MALIM – Kumpulan pekebun kecil getah sekali lagi dibantu kerajaan kali ini bagi mereka yang melakukan penghasilan susu getah atau lateks menerusi kaedah baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, bantuan itu dilakukan menerusi pelaksanaan model baharu projek rintis Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) untuk tempoh selama setahun di beberapa negeri seperti Perak, Kedah dan Sabah.

Menurut beliau, setiap pekebun kecil getah yang menyertai projek itu akan menerima empat manfaat iaitu insentif bulanan berjumlah RM2 sekilogram (100 peratus kandungan getah kering) dan bayaran Insentif Penyertaan RM200 setiap bulan dengan tempoh terhad selama setahun bagi pekebun kecil yang beralih kepada pengeluaran lateks.

“Manfaat lain ialah bayaran Insentif Galakan RM100 setiap bulan dengan tempoh terhad selama setahun bagi galakan pekebun kecil yang sedang mengeluarkan lateks dan Insentif Produktiviti berdasarkan produktiviti tahunan yang mencapai sasaran produktiviti antara 1,000 ke 1,499 kilogram bagi setiap hektar setahun (Kluster 1) dan 1,500 kilogram ke atas setiap hektar setahun (Kluster 2).

“Projek rintis itu juga boleh membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil kerana model baharu yang dibangunkan tersebut adalah dengan memendekkan rantaian pemasaran melalui jualan lateks terus kepada kilang pemproses,” katanya selepas melancarkan model baharu projek rintis IPL dan Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kebergantungan import lateks negara yang kini sebanyak RM3 bilion pada tahun 2022.

Selain pekebun kecil, menurut Fadillah, kilang yang terpilih untuk memproses lateks dalam projek itu juga memperolehi manfaat melibatkan kebenaran khas mengutip lateks bersyarat dan pinjaman kemudahan serta peralatan.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, penilaian akan dilakukan dalam tempoh setahun pelaksanaan projek rintis itu bagi mengumpul data dan menentukan langkah seterusnya.

Jelasnya, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM21 juta bagi tujuan pelaksanaan program IPL itu melibatkan anggaran seramai 1,500 pekebun kecil dan tiga kilang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI