GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkar makmal haram pemprosesan dadah jenis heroin dan syabu menerusi satu operasi bersepadu di sebuah rumah banglo dua tingkat di Teluk Kumbar di sini, Sabtu lalu.
Dalam operasi yang dijalankan bermula Jumaat lalu hingga semalam itu, polis turut menahan empat lelaki tempatan berusia 27 hingga 33 tahun serta merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM1.87 juta.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, dalam operasi itu polis telah melancarkan enam serbuan secara serentak di sekitar George Town dan kawasan Barat Daya.
“Suspek pertama iaitu lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai dalang sindiket ini ditahan kira-kira pukul 9.10 malam pada Jumaat lalu di tepi jalan di Tanjong Tokong.
“Polis kemudiannya merampas pelbagai jenis dadah yang disimpan di dalam sebuah kereta yang diletakkan kira-kira 200 meter dari lokasi suspek ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, petang tadi.
Menurut Kok Chin, polis kemudiannya menahan suspek kedua di Gelugor kira-kira pukul 12.20 malam, Sabtu manakala suspek ketiga dan keempat ditahan di Lebuh Sungai Pinang kira-kira pukul 1 pagi juga pada Sabtu.
“Susulan penahanan suspek, polis merampas pelbagai jenis heroin dan syabu yang disimpan dalam kereta di kawasan parkir tidak jauh daripada lokasi mereka ditahan. Suspek-suspek ini dipercayai menyimpan dadah di dalam kereta yang diletakkan di parkir awam sebelum pembeli datang mengambilnya tanpa kehadiran suspek,” katanya.
Tambahnya, dengan dipandu arah oleh suspek, kira-kira pukul 7.15 malam pada Sabtu polis kemudiannya menyerbu rumah dua tingkat di Teluk Kumbar serta membongkar makmal haram memproses heroin di situ.
“Polis turut menjumpai pelbagai jenis dadah serta peralatan untuk memproses dadah seperti heroin base, serbuk kafein, bahan kimia dan lain-lain peralatan di rumah berkenaan. Ketika serbuan dijalankan rumah ini tidak berpenghuni dan polis masih menyiasat hubungan tuan rumah dengan suspek,” katanya.
Kok Chin berkata, hasil risikan mendapati aktiviti memproses dan mengedar dadah oleh sindiket itu bergiat aktif sejak awal tahun ini untuk pasaran tempatan.
“Dalam siri serbuan ini, polis merampas heroin sebanyak 23.38 kilogram (kg), heroin base (18.4 kg), syabu(1.5 kg ), kafein sebanyak 94.4 kg dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 1,227,000 orang.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kesemua tangkapan negatif dadah, namun semakan mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah,” katanya polis juga menyita enam buah kereta, barang kemas wang tunai serta dua buah motosikal dan jumlah keseluruhan rampasan dadah serta sitaan RM2.06 juta.
“Seorang daripada lelaki yang ditahan itu mempunyai syarikat pembersihan manakala tiga yang lain merupakan penganggur. Kesemua mereka direman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -KOSMO! ONLINE