fbpx

Geng Dan Lombok tumpas, polis selesai 14 kes samun di tiga negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YAHAYA OTHMAN menunjukkan antara barangan yang dirampas daripada Geng Dan Lombok dalam sidang akhbar di IPK Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Polis Pahang berjaya menumpaskan Geng Dan Lombok yang aktif menjalankan kegiatan samun sekali gus berjaya menyelesaikan 14 kes samun dan pecah rumah yang berlaku di sekitar Pahang, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Daripada 14 kes terbabit, sembilan daripadanya adalah di Pahang, tiga kes di Terengganu dan dua kes di Negeri Sembilan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, seramai tujuh lelaki warganegara Indonesia termasuk seorang wanita warganegara tempatan yang merupakan ahli geng berkenaan diberkas dalam beberapa siri serbuan.

Katanya, penahanan dilakukan susulan beberapa serbuan di Felda Keratong, Rompin dan Kuala Pilah, Negeri Sembilan oleh pasukan polis Cawangan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Pahang dan Negeri Sembilan.

“Siasatan mendapati seorang lelaki Indonesia dan wanita tempatan adalah pasangan suami isteri manakala enam lagi warga Indonesia bekerja sebagai buruh ladang.

“Pasangan terbabit bertindak sebagai orang yang menyediakan kenderaan dan menjual barang kemas yang disamun Geng Dan Lombok terbabit,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Tambahnya, susulan penahanan suspek pihaknya merampas sebuah beg mengandungi senjata dan peralatan pecah rumah seperti parang, pisau, kuku kambing, lampu suluh, sabit dan teropong.

Katanya, turut dirampas 20 unit telefon bimbit, beberapa utas jam tangan, barang kemas seperti gelang, loket, rantai dan cincin serta dua kenderaan iaitu kereta Perodua Bezza dan Myvi.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 395/397/394 Kanun Keseksaan dan Seksyen (6)(1)(c) Akta Imigresen dan siasatan giat dilakukan

Beliau memberitahu, modus operandi yang dilakukan penjenayah terbabit ialah menyasarkan rumah yang jauh dari jalan raya dan turut bertindak mencederakan mangsa serta menyasarkan barang kemas dan wang tunai.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati Geng Dan Lombok terbabit diketuai seorang lelaki Indonesia berusia 43 tahun yang dikenali sebagai Dan.

“Suspek pernah ditahan kerana melakukan jenayah samun di Felda Keratong, Rompin pada 2015 dan pernah menjalani hukuman penjara selama setahun serta diusir keluar ke Indonesia.

“Namun tahun ini lelaki terbabit kembali ke negara ini secara haram dan melakukan jenayah bersama rakan lain yang tidak mempunyai dokumen dan pasport,” katanya.  – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI