SHEFFIELD – Pengendali Manchester United, Erik Ten Hag percaya bahawa kejayaan pasukannya ketika menewaskan Sheffield United 2-1 awal pagi semalam dibantu oleh keinginan pemain untuk memberikan penghargaan kepada legenda kelab itu, Sir Bobby Charlton.
Charlton disahkan meninggalkan dunia kelmarin pada usia 86 tahun susulan mengalami penyakit demensia yang merupakan penyakit otak yang progresif beberapa jam sebelum United turun berdepan aksi berkenaan.
“Ia sangat luar biasa. Kami memberikan penghormatan besar, mengucapkan selamat tinggal kepada seorang individu yang luar biasa. Kelab ini perlu sentiasa mengingati Bobby Charlton kerana beliau adalah seorang yang sangat hebat.
“Aksinya sangat luar biasa sama ada di dalam dan luar padang. Kami akan sentiasa mengingati apa yang telah dilakukan dan saya fikir kami telah melakukan sebaiknya pada aksi kali ini untuk memberikan hadiah istimewa buatnya,” katanya.
Kejayaan itu menyaksikan United melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas skuad kendalian Ten Hag itu mempamerkan aksi yang agak goyah, malah tiga mata itu menyaksikan mereka berjaya mendaki tangga ke kedudukan kelapan saingan Liga Perdana Inggeris.
United membuka tirai jaringan menerusi Scott McTominay sebelum Sheffield berjaya menyamakan kedudukan selepas mereka berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Oliver McBurnie.
Bagaimanapun, The Red Devils berjaya meraih gol kemenangan hasil jaringan Diogo Dalot sekali gus menjadi kemenangan kelima mereka musim ini selepas sembilan perlawanan.
“Memang kebiasaan, selepas aksi antarabangsa pemain akan turun dengan cara dan sistem yang sedikit berbeza kerana beraksi dengan pasukan berbeza, tetapi ia akan kembali kepada rutin biasa,” jelasnya. – AGENSI