KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti cadangan Ahli Parlimen supaya pilihan raya bagi memilih pelajar menjadi pengawas diadakan di peringkat sekolah.
Timbalan Menteri KPM, Lim Hui Ying berkata, cadangan tesebut selari dengan usaha untuk memperkasakan pendidikan literasi politik dalam kalangan golongan muda.
“Cadangan ini sangat baik. KPM akan mengambil kira dan mengkajinya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Makhota) sama ada KPM akan mengkaji kesesuaian pemilihan pengawas menerusi pilihan raya.
Ia sebagai pendedahan kepada sistem pengundian memandangkan mereka akan layak untuk mengundi pada umur 18 tahun sebaik sahaja meninggalkan alam persekolahan.
Terdahulu, Hui Ying berkata, KPM telah melaksanakan pelbagai usaha dalam mengetengahkan literasi politik dan kenegaraan kepada murid sekolah rendah dan menengah.
Menurut beliau, kurikulum sejarah memberi fokus kepada pengetahuan, kemahiran dan nilai yang berkaitan dengan pendidikan politik dan kenegaraan.
Jelas beliau, ia bertujuan membina karakter positif supaya murid boleh berfikir dan bertindak bijak mentafsir sesuatu isu dan peristiwa serta membuat keputusan yang rasional.
“Selain pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, pemerkasaan pendidikan politik juga disokong dengan aktiviti kokurikulum di luar bilik.
“KPM bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Akademi Pilihan Raya serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN),” katanya. – KOSMO! ONLINE