PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribut, nama penyanyi Aizat Amdan tiba-tiba menjadi bualan hangat netizen selepas muncul dengan fesyen pelik pada konsert Yunaverse yang berlangsung di ibu negara malam tadi.
Tampil membuat persembahan pada konsert tersebut, Aizat atau nama penuhnya Muhammad Aizat Amdan, 34, menggayakan baju berwarna biru dan dipadankan dengan korset serta seluar pendek berona metalik.
Selain busana yang dikatakan aneh, pelantun lagu Sampai Ke Hari Tua itu juga turut menerima kritikan kerana memakai beberapa utas rantai yang sememangnya dilarang dipakai oleh kaum lelaki beragama Islam.
Rentetan daripada itu, fesyen yang digayakan Aizat itu disamakan seperti penyanyi popular antarabangsa, Sam Smith yang sebelum ini sering dikritik kerana kerap menggayakan fesyen pelik setiap kali membuat persembahan.
Rata-rata terkejut malah ada yang kecewa kerana Aizat tampil dengan fesyen sebegitu.
“Aizat okey tak? Cukuplah Sam Smith sahaja yang begitu, janganlah tambah seorang lagi di Malaysia.
“Fesyen apa itu? Kenapa Aizat jadi begini?” soal netizen yang terkejut dengan penampilan bekas bintang Akademi Fantasia itu. – KOSMO! ONLINE