fbpx

7 empangan dikenal pasti berisiko bekal sumber air kepada LRA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Sebanyak tujuh empangan berisiko tinggi mendatangkan masalah sumber air kepada Loji Rawatan Air (LRA) dan kawasan sekitar jika berlaku kegagalan fungsi berikutan faktor cuaca berdasarkan Laporan Pemantauan Paras Empangan Bekalan Air 2022.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Anthony Santiago berkata, kesemua empangan itu melibatkan dua empangan di Kedah iaitu Pedu dan Muda, tiga di Melaka melibatkan Durian Tunggal, Asahan dan Jus manakala masing-masing satu di Pulau Pinang dan Johor iaitu di Mengkuang serta Linggiu.

Katanya, penilaian risiko telah dilakukan di 55 empangan bekalan air utama dengan penilaian yang dijalankan berdasarkan tiga faktor utama iaitu melibatkan prestasi fizikal empangan, rekod paras simpanan empangan dan jumlah LRA di kawasan empangan.

“Untuk tujuh empangan yang dikenal pasti risikonya adalah terhadap isu pembekalan air, bukan empangan itu sendiri berbahaya.

“Tetapi ia boleh bahayakan pembekalan air sebab di sepanjang sungai yang berhubung dengan empangan itu, terdapat beberapa LRA yang mendapatkan sumber air dari empangan itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelasnya, dalam mengurangkan risiko di kesemua empangan itu, beberapa cadangan turut diutarakan antaranya kerajaan negeri dicadangkan membangunkan ‘Off River Storage’ (TAPS) untuk dijadikan kolam takungan serta simpanan bekalan air.

“Oleh itu, pendekatan pembangunan TAPS dilihat sebagai alternatif dalam membantu meningkatkan keupayaan sumber air.

“Pada masa ini TAPS pelbagai fungsi juga telah dicadangkan contohnya TAPS Rasau bagi fungsi bekalan air serta tebatan banjir,” katanya.

Tambahnya, sejak tahun 2008 Selangor telah mengguna pakai kaedah TAPS dibangunkan di sebuah lombong di Bestari Jaya bagi menerima pelepasan air di empangan Sungai Tinggi serta Sungai Selangor.

“Kerajaan negeri lain perlu menggunakan cara yang sama. Kita mesti faham bukan sungai sahaja penting tetapi empangan juga penting dalam memastikan kelangsungan sumber bekalan air,” jelasnya.

Santiago berkata, sebanyak 16 daripada 55 empangan bekalan air diseluruh negara ketika ini berusia lebih 50 tahun.

“Bagi empangan tersebut kajian semula reka bentuk dan keselamatan serta kajian terhadap simpanan aktif dan simpanan mati perlu dijalankan kerana maklumat reka bentuk asal telah mengambil perubahan yang ketara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI