fbpx

‘6 episod’ hujan lebat berterusan bermula November hingga Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula November ini hingga Mac tahun depan.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional MetMalaysia, Dr. Fariza Yunus berkata, hujan lebat berterusan turut berpotensi mengakibatkan risiko banjir di kawasan rendah selain kawasan yang kerap berlaku bencana itu.

“Bagaimanapun sekiranya luar monsun yang berlaku adalah kuat dan dalam masa sama, wujud sistem cuaca tekanan rendah di rantau negara, kawasan liputan hujan monsun akan lebih menyeluruh dan tempoh akan jadi lebih panjang.

“MTL ini merupakan hujan utama di Malaysia khususnya di negeri-negeri Pantai Timur dan barat Sarawak. Monsun dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada November dan Disember, manakala Disember dan Januari 2024 pula, hujan monsun dijangka beralih ke Johor dan barat Sarawak.

“Hujan lebat berterusan berpotensi mengakibatkan banjir. Kejadian banjir akan meningkat jika monsun itu berlaku serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi temu bual disiarkan secara langsung di sebuah agensi berita, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, menerusi tinjauan cuaca jangka panjang menunjukkan, Sabah dijangka menerima pengurangan hujan antara 20 hingga 40 peratus sepanjang tempoh MTL iaitu November hingga Mac.

“Selain itu, utara Sarawak menerima hujan kurang 20 hingga 40 peratus pada Februari dan Mac. Negeri utara Semenanjung pula menerima pengurangan hujan antara 20 hingga 40 peratus daripada purata jangka panjang pada Mac 2024,” katanya.

Ujarnya, negara diramalkan berdepan cuaca panas dan kering pada Februari dan Mac iaitu penghujung MTL 2023 dan MTL 2024 sekali gus berpotensi mengakibatkan gelombang haba dan jerebu jika berlaku pembakaran terbuka tidak terkawal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI