TEL AVIV – Kebimbangan mengenai pencerobohan darat berskala penuh ke atas Semenanjung Gaza semakin meningkat apabila puluhan kereta kebal dan beribu-ribu askar Israel berhimpun di kawasan sempadan, lapor akhbar The Shillong Times kelmarin.
Agensi berita IANS melaporkan, ribuan askar Israel serta berpuluh-puluh kenderaan berperisai lain ditempatkan berhampiran sempadan dan bersedia untuk melancarkan serangan darat besar-besaran.
Laporan mengenai kerahan tentera itu dibuat selepas seorang editor stesen penyiaran CNN, Nic Robertson melaporkan bahawa dia mendengar bunyi tembakan mesingan berat di sepanjang sempadan awal pagi kelmarin, lapor portal berita MailOnline.
Rejim Zionis meneruskan serangan udara tanpa henti ke atas Semenanjung Gaza dan telah memulakan pemindahan besar-besaran penduduk di utara Israel dekat sempadan Lebanon, sekali gus menunjukkan Israel bersedia melancarkan perang di darat.
Di Gaza di mana dua juta rakyat Palestin terperangkap di dalam wilayah kecil itu, penduduk sedang bersiap sedia untuk menghadapi pencerobohan Israel yang dijangka mengakibatkan kematian lebih besar.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant melawat pasukan tentera yang ditempatkan di sepanjang sempadan Gaza dan memaklumkan bahawa mereka akan melihat kawasan Palestin ‘dari dalam’ tidak lama lagi, lapor akhbar The Sun.
Gallant memberitahu tentera: “Tiada pengampunan ke atas serangan kumpulan Hamas. Hanya pemusnahan total organisasi Hamas, infrastruktur keganasan, segala yang berkaitan dengan mereka dan sesiapa sahaja yang menghantar mereka.
“Ia akan mengambil masa seminggu, ia akan mengambil masa sebulan, bahkan dua bulan untuk menghapuskan mereka. Anda (tentera Israel) tidak bersendirian dalam perang ini. Kami percayakan anda dan bergantung kepada anda.
“Teruskan latihan selagi ada masa, bersiap sedia, arahan (pertempuran) akan datang. Sesiapa yang melihat Gaza dari jauh akan melihatnya dari dalam, saya berjanji kepada anda,” katanya.
Menteri Ekonomi Israel, Nir Barkat memberitahu bahawa tentera Israel telah diberi ‘lampu hijau’ untuk bergerak masuk ke Gaza bila-bila masa apabila sudah bersedia.
Seorang komander infantri tentera Israel menyatakan bahawa askar-askarnya bersedia untuk melakukan pencerobohan.
Jurucakap IDF, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus berkata: “Israel sudah bersedia, lengkap, berorientasikan misi, dan bersedia untuk peringkat seterusnya operasi kami.
“Tetapi pada masa ini, sudah tentu kami tidak akan memberitahu bila, di mana dan bagaimana kami akan memajukan atau meningkatkan aktiviti ketenteraan kami,” katanya.
Pemimpin Israel bertekad untuk mengusir kumpulan Hamas dari Gaza, walaupun ia memerlukan operasi yang berpotensi berlarutan dan dari rumah ke rumah yang boleh mengakibatkan korban lebih ramai dalam kalangan rakyat Palestin. – Agensi