MELAKA – Seorang remaja maut, manakala rakannya parah selepas terlibat dalam nahas membabitkan tiga buah motosikal di Jalan Paya Luboh, Bukit Rambai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Muhammad Habil Ammar Mohd. Haidhir, 16, meninggal dunia di lokasi, manakala Azry Akhmal Azhim Afaruzi, 17, mengalami patah bahu kiri dan luka-luka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku apabila kedua-dua mereka yang masing-masing menunggang motosikal jenis Honda RS150R dan Honda FS150 cuba memotong sebuah lori tangki dari arah Bukit Rambau ke Tangga Batu.
“Motosikal yang Muhammad Habil tunggang bagaimanapun dipercayai telah hilang kawalan lalu bergesel dengan motosikal Azry.
“Dia kemudian telah merempuh sebuah motosikal dari arah bertentangan jenis Honda C100 yang ditunggang seorang operator kilang berusia 19 tahun,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar Arshad, Muhammad Habil disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala rakannya serta operator kilang yang turut mengalami luka-luka telah dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.
“Siasatan pegawai penyiasat di lokasi mendapat nahas berlaku di laluan garis putih berkembar satu lorong dan dua hala.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua pelajar itu dikatakan ingin ke Tangga Batu untuk berjumpa dengan rakan mereka. – KOSMO! ONLINE