fbpx

PVATM mahu hantar memorandum pelarasan pencen kepada Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharuddin dan ahli PVATM hari ini mengadakan perhimpunan aman di pekarangan Hotel Grand Barakah bagi menuntut pelarasan pencen veteran ATM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mahu menghantar memorandum memohon pelarasan pencen veteran ATM kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam tempoh terdekat.

Presiden PVATM Malaysia, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar berkata, isu tersebut sudah terlalu lama, namun tiada sebarang tindakan oleh kerajaan dalam soal penyelarasan pencen veteran ATM sehingga hari ini.

“Kami hendak tuntut pelarasan pencen bagi veteran ATM yang berpencen sebelum tahun 2013. Ini adalah hasil daripada perhimpunan agung kami. Kami buat resolusi kami harus menuntut dengan cara berbeza pula.

“Sebelum ini sudah banyak kali dikemukakan kepada kerajaan. Sebab itu hari ini kami berkumpul adakan perhimpunan aman untuk menuntut pelaksanaan pencen veteran ATM dilaksanakan.

“Kami minta selaraskan pencen sebelum 2013 kerana 2013 ke atas mempunyai skim perkhidmatan atau gaji yang berbeza, tetapi pencen (sebelum tahun 2013) lebih 78,000 veteran ATM tidak dinaikkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau bersama sekumpulan ahli PVATM mengadakan perhimpunan aman di pekarangan Hotel Grand Barakah dekat sini yang merupakan lokasi Perhimpunan Agung Tahunan Negara Ke-97 PVATM diadakan.

Dalam pada itu, Sharuddin berkata, PVATM menuntut bantuan sara hidup RM300 sebulan bagi veteran ATM tidak berpencen yang berumur lebih 60 tahun dilaksanakan tanpa sebarang syarat.

Sementara itu, Ketua Penerangan Persatuan Veteran ATM (PVATM), Brig Jen (B), Datuk Mohd Bustaman Mat Zin berkata, memorandum memohon pelarasan pencen veteran ATM dijangka diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong selepas tempoh 14 hari bermula hari ini.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat pada Perhimpunan Agung Tahunan Negara Ke-97 PVATM atas dasar Yang di-Pertuan Agong merupakan Pemerintah Tertinggi ATM.

“Kami tidak lagi mahu berurusan dengan orang politik. Kami mahu terus bawa perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong. Ada usul keluar ke jalanan (demonstrasi), tetapi ia akan beri imej tidak baik kepada negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI