fbpx

Putera Mahkota Arab Saudi kunjungi Malaysia Januari 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar melakukan kunjungan ke atas Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi di Istana Yamamah, Riyadh sebelum mengakhiri lawatan kerja di negara tersebut.

KUALA LUMPUR – Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed Salman Al Saud dijangka melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia pada Januari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengemukakan jemputan tersebut kepada Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi sebelum mengakhiri lawatan kerja di negara tersebut.

“Alhamdulillah, saya telah berkesempatan melakukan kunjungan ke atas Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi di Istana Yamamah, Riyadh sebagai acara penutup lawatan kerja saya ke negara Semenanjung Arab tersebut.

“Saya punyai keyakinan yang tinggi bahawa hubungan istimewa Malaysia dan Arab Saudi kini telah memasuki lembaran baharu yang lebih erat dan kukuh atas dasar dan pendekatan keuntungan bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Anwar, pada pertemuan berkenaan, kedua-dua mereka turut berbincang isu dua hala melibatkan kedua-dua negara Malaysia dan Arab Saudi dalam suasana mesra dan persahabatan yang utuh.

Kata beliau, kedua-dua mereka bersetuju untuk mempertingkat hubungan dua hala ke peringkat Perkongsian Strategik Malaysia-Arab Saudi meliputi pelbagai lapangan, termasuk penganjuran Majlis Penyelarasan Malaysia-Arab Saudi (SMCC), lapangan tenaga hijau di bawah Inisiatif Hijau Arab Saudi (SGI) dan pelaburan strategik.

“Isu penting lainnya yang disentuh ternyata isu Palestin dan kemanusiaan. Saya turut menegaskan agar kita berusaha untuk menghentikan keganasan dan pembenihan kefanatikan yang pastinya akan memburuk keadaan dan menambah kesengsaraan warga Palestin,” katanya.

Anwar berkata, beliau turut melontar penghargaan dan menjunjung kebijaksaan Arab Saudi dalam menganjurkan Sidang Kemuncak yang mempertemukan kedua-dua rantau yakni ASEAN dan Negara-Negara Teluk (GCC) untuk kesekian kalinya.

Menurut beliau, sidang itu menjadi platform tepat dalam memperkukuh kerjasama di lapangan politik, ekonomi, sosio-budaya dan juga keselamatan, selain memberi penekanan pada isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI