PELUMBA Tobaki Cilik Pink Racing, Harith Farhan Baharin percaya kegagalan menamatkan perlumbaan pusingan kelapan pada 8 Oktober lalu bukanlah pengakhiran buatnya apabila tekad memberikan aksi terbaik menjelang perlumbaan Kejuaraan Cub Prix hari ini.
Pelumba itu percaya masalah itu telah diatasi pasukannya dengan baik sekali gus mahu menamatkan kemarau dengan mengutip mata pada perlumbaan pusingan kesembilan di Litar Lumba Tangkak, Johor nanti.
“Sewaktu perlumbaan tempoh hari, sebenarnya saya berada dalam kelompok untuk mengutip mata, tetapi sayang jentera mula berdepan kerosakan.
“Ketika itu, jentera sememangnya agak baik, tetapi selepas beberapa pusingan prestasi enjin mula bermasalah dan saya terpaksa keluar dari perlumbaan.
“Apapun saya yakin, pasukan telah atasi masalah tersebut dan kalau boleh saya mahu menamatkan perlumbaan dengan baik.
“Saya mahu bawa jentera Pink Racing ini berada dalam kelompok 10 terbaik dan meraih mata buat pasukan kali ini,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Bagaimanapun, Harith yakin cabaran di Tangkak bukan sesuatu yang mudah memandangkan litar tersebut baru dinaik taraf sekali gus bakal memberi cabaran kepada semua pelumba terutama dalam saingan kelas CP150.
“Saya tahu, saingan esok (hari ini) pasti mencabar kerana litar juga baru diturap dan keadaan pasti agak licin. Jadi, ia bakal memberi cabaran kepada setiap pelumba,” tambahnya.
Pada aksi kelayakan semalam menyaksikan Harith bakal memulakan saingan di petak ke-12, Afizi Supaat (19), manakala seorang lagi pelumba Pink Racing, Qhuwarismi Nasir di tempat ke-24.