fbpx

Perkataan kesat, bakar bendera antara larangan pada perhimpunan ‘Freedom With Palestine’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ribuan orang awam menghadiri perhimpunan Freedom For Palestine di Dataran Merdeka, baru-baru ini. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

PETALING JAYA – Perkataan kutukan seperti ‘hell’, ‘curse’, ‘die’ atau konotasi yang serupa adalah antara larangan kepada peserta perhimpunan ‘Freedom With Palestine’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur petang tadi.

Peserta dibenarkan untuk membuat ‘placard’ atau sepanduk, tetapi mereka tidak boleh menggunakan sebarang kata-kata kesat, gambar ‘kesat’ atau ucapan perkauman contohnya Jews (Yahudi) dan sebagainya.

Larangan tersebut dimuat naik pada hantaran Facebook Viva Palestina Malaysia yang juga penganjur perhimpunan ‘Freedom With Palestine’ sehari sebelum ia berlangsung, yang mana acara tersebut menerima pelbagai kritikan orang ramai berhubung laungan Allahuakbar ketika ini.

“Perbuatan lain yang dilarang sepanjang perhimpunan ialah tidak membakar atau menghentak-hentakkan kaki (pijak) di atas bendera selain tidak mewujudkan suasana tegang sama ada secara perbuatan atau lisan.

“Berdasarkan Akta Perhimpunan Aman, kanak-kanak (usia 15 tahun dan ke bawah) tidak dibenarkan menghadiri dan menyertai sebarang himpunan aman.

“Malah tiada aktiviti meminta derma dan penganjur juga tidak akan mengutip sebarang sumbangan semasa perhimpunan aman itu. Tiada individu atau organisasi lain dibenarkan untuk meminta derma sepanjang perhimpunan aman tersebut,” menurut Viva Palestina Malaysia.

Pasukan keselamatan perhimpunan tersebut juga mempunyai hak untuk mengambil tindakan kepada sesiapa yang melanggar peraturan berkenaan.

Sementara itu, peringatan itu turut menyebut, himpunan aman itu merentasi sempadan kaum, agama, budaya dan kewarganegaraan.

“Oleh itu, adalah sangat penting bahawa setiap orang daripada kita bertanggungjawab untuk tidak mengucapkan atau melaungkan apa-apa kenyataan yang boleh menyakiti saudara kita dan mereka yang lain daripada iman, kepercayaan serta kepercayaan yang lain,” kata hantaran itu.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan peserta Perhimpunan ‘Freedom For Palestine’ berasa kecewa setelah penganjur didakwa melarang pesertanya daripada melaungkan Allahuakbar.

Perhimpunan di Dataran Merdeka yang disertai hampir 5,000 peserta daripada pelbagai latar belakang itu mendapat kritikan orang ramai selepas penganjurnya bertindak merampas sepanduk yang memaparkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai syaitan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI