PETALING JAYA – “Ini merupakan perhimpunan solidariti Palestin yang paling lemah pernah saya hadiri”.
Itulah luahan hati seorang pemuda yang kecewa setelah diarahkan untuk menurunkan sepanduk Netanyahu ketika menghadiri perhimpunan ‘Freedom With Palestine’ yang dianjurkan oleh Viva Palestina Malaysia (VPM) dan MyCARE di Dataran Merdeka, pagi tadi.
Menurut hantarannya di laman Facebook, tindakan penganjur yang tidak menghormati kebebasan bersuara telah membuatkannya ‘tawar hati’ sehingga dia mengambil keputusan untuk beransur daripada tempat perhimpunan.
“Pelik tetapi benar. Sepanduk yang saya bawa itu tidak bersifat politik malah ia menyatakan sesuatu yang benar.
“Netanyahu adalah penjenayah perang. Mengapa kita perlu menjaga hati Amerika dan Israel?,” ulasnya dalam hantaran sama.
Lebih mengecewakan, individu yang memberikan arahan sedemikan adalah pihak penganjur sendiri, juga orang sama yang menggelarkan segelintir peserta sebagai ‘Zionis’ seperti yang tular di media sosial.
Menurutnya, perhimpunan sebegitu umpama ‘wayang’ para penganjur semata-mata sekiranya peserta tidak diberikan kebebasan bersuara.
“Benar, laungan takbir juga tidak dibenarkan, kononnya tidak mahu orang bukan Islam berasa tidak selesa.
“Sepatutnya, didiklah mereka. Takbir itu adalah laungan suci umat Islam yang bukannya bersifat ganas malah menyatukan.
“Penganjur cuba membawa perspektif kemanusiaan yang melampau hingga merendah-rendahkan agama dan tanah suci umat Islam dalam perjuangan Palestin,” katanya.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 329 tanda suka dan 269 perkongsian di Facebook.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan peserta Perhimpunan ‘Freedom For Palestine’ berasa kecewa setelah penganjur melarang pesertanya daripada melaungkan Allahuakbar.
Perhimpunan di Dataran Merdeka yang disertai hampir 5,000 peserta daripada pelbagai latar belakang itu mendapat kritikan orang ramai selepas penganjurnya bertindak merampas sepanduk yang memaparkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai syaitan. – KOSMO! ONLINE