PETALING JAYA – Tindakan seekor kucing dikenali sebagai Oyen yang tinggal di Zoo Negara bersembunyi di sebalik celahan pokok buluh ketika kejadian banjir kilat baru-baru ini berjaya menyelamatkannya daripada sebarang kejadian tidak diingini.
Melalui video yang dikongsi Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmad Lana di TikTok, kelihatan Oyen keluar dari celah rumpun buluh semasa kakitangan Zoo Negara mencarinya selepas tempat Capybara dinaiki air.
Menurut Rosly, sebaik sahaja lokasi tumpuan ramai dilanda banjir kilat, beliau segera meninjau keadaan di zoo tersebut sebelum dimaklumkan seekor Capybara dan Oyen hilang.
“Capybara berjaya ditemui, tetapi Oyen masih belum kelihatan (ketika air mulai surut).
“Risau di mana Oyen berada ketika hujan lebat ini. Akhirnya, beberapa minit kemudian Oyen berjaya ditemui. Haiwan yang lain juga selamat,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa lega apabila Oyen dan haiwan lain yang terdapat di Zoo Negara selamat.
“Dapat berita Zoo Negara banjir terus terfikir “Oyen macam mana? dia okay ke?” terus menangis maaflah emosi terganggu,” kata Memey.
“Oyen tak boleh hilang, ‘anak emas’ Zoo Negara,” seloroh Ekin.
“Terima kasih tuan beri liputan begini. Kami tertanya-tanya apa berlaku bila tahu Zoo Negara (dilanda) banjir. Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung,” kata Mizz Kay.
“Tanpa Oyen hilanglah seri Zoo Negara. Lega dengar Oyen selamat,” kata Myrza.
Pada Rabu lalu, kejadian banjir kilat melanda beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk Zoo Negara ekoran kejadian lebat selama lebih sejam. – KOSMO! ONLINE