SEJAK tular lagu Nur Nilam Sari ciptaan M. Nasir yang diubah kepada Pinjam RM100 Nur Nilam Sari, gadis pilihan Pesona Ahad minggu ini turut terkena tempias.
Selain menjadikan dirinya semakin dikenali, pemilik nama Nurnilam Sari Sam, 20, memberitahu, ada pihak yang mempertikai namanya sehingga memintanya menunjukkan MyKad.
Lebih teruk, penuntut Universiti Selangor (Unisel) Shah Alam ini dikatakan menunggang populariti orang lain.
Kepada Kosmo! Ahad, gadis manis mesra dipanggil Nilam ini bercerita mengenai dirinya yang menjadi usikan rakan sehingga membuatkan pensyarah marah.
KOSMO! Ahad: Ceritakan mengenai Nilam?
NILAM: Saya mula bekerja secara sambilan seawal usia 15 tahun demi membantu keluarga. Bermula dengan bekerja di gerai burger kemudian model sambilan beberapa produk akhirnya menawarkan khidmat reviu produk di TikTok dan Instagram.
Alhamdulillah, pendapatan yang saya dapat kadangkala boleh mencecah RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.
Kisah yang orang tidak tahu?
Saya seorang yang kuat bekerja dan disebabkan itu saya buka gerai jual kopi di tepi jalan berdekatan tempat belajar selepas habis kelas.
Hasil semua kerja keras inilah saya gunakan untuk membayar yuran pengajian, sewa rumah dan kereta serta perbelanjaan harian. Nilam juga gunakan pendapatan itu untuk bantu keluarga dengan membayar segala bil termasuk wang belanja untuk ibu.
Pada waktu cuti pula, saya akan ambil kerja-kerja modelling atau menjadi ‘kanvas make-up’ untuk dapatkan duit poket.
Boleh kongsikan rahsia di sebalik nama?
Sejujurnya, nama ‘bertuah’ ini diberi oleh arwah bapa. Kata ibu, bapa saya suka sangat dengan lagu tersebut dan mungkin itulah inspirasi ayah ketika memberikan nama saya.
Cerita disebalik nama?
Sejak lagu Nur Nilam Sari tular, boleh dikatakan hampir hari-hari saya dikacau rakan-rakan sehingga pensyarah bosan dengan lawak ‘pinjam seratus’ yang mereka selalu sebut dalam kelas.
Namun, yang menyedihkan, ramai mempersoalkan nama saya. Ada yang tuduh saya cuba ‘menunggang’ trend semasa hingga sanggup memberi nama Nilam Sari kepada diri sendiri hanya untuk meraih populariti. Malah, ada juga pengikut saya di laman sosial yang menghantar mesej peribadi (DM) dengan meminta bukti MyKad.
Kejayaan diri Nilam sehingga kini?
Saya mampu beli banyak benda dengan duit sendiri tanpa perlukan sebarang bantuan daripada ibu dan bapa.
Inilah kejayaan yang paling besar kerana saya yakin, bukan semua orang mampu buat apa yang saya buat selama ini.
Saya berjaya beli motosikal secara tunai dan bakal memiliki kereta pertama.
Lelaki idaman?
Kulit hitam manis dan lebih tinggi daripada saya. Jika dia tampan dan kelakar, itu satu bonus. Lelaki itu berkongsi minat terhadap perniagaan, sama seperti saya. Barulah setara!