PETALING JAYA – Selebriti tanah air dan pempengaruh terkenal mula bersuara tanda tidak bersetuju dengan tindakan penganjur Perhimpunan ‘Freedom With Palestine’ yang dilihat seakan-akan cuba ‘mendiamkan’ suara peserta yang bersolidariti bersama Palestin.
Menurut pelakon dan pengacara terkenal, Qi Razali menyuarakan pandangannya supaya jangan meminta umat Islam untuk ‘menjaga hati’ orang bukan Islam sedangkan kita hidup dalam negara berbilang kaum.
“Di Malaysia, kita dengan azan lima kali sehari. Saya tidak rasa laungan Allahuakbar akan mengguris hati sesiapa, lebih-lebih lagi apabila mangsanya adalah orang Islam juga.
“Saya tahu orang Malaysia lebih baik daripada apa yang diperkatakan,” katanya melalui sebuah hantaran di laman Twitter, hari ini.
Pempengaruh terkenal, Ceddy Ang di laman Twiternya, @CeddyOrNot pula berkata, peserta perhimpunan tersebut mempunyai hak untuk bersuara lebih-lebih lagi apabila sedang berhimpun untuk menunjukkan solidariti bersama Palestin.
“Nak jaga hati siapa? Terang-terangan, (peserta) berada di situ untuk menyokong Palestin.
“Laungan Allahuakbar tidak patut menjadi isu. Mungkin para penganjur ingin hormat peserta daripada kaum dan agama yang berbeza.
“Tetapi apabila Nurul Izzah menjerit Allahuakbar, saya okay sahaja. Orang bukan Islam tidak dipaksa untuk ikut serta,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan peserta Perhimpunan ‘Freedom For Palestine’ berasa kecewa setelah penganjur melarang pesertanya daripada melaungkan Allahuakbar.
Perhimpunan di Dataran Merdeka yang disertai hampir 5,000 peserta daripada pelbagai latar belakang itu mendapat kritikan orang ramai selepas penganjurnya bertindak merampas sepanduk yang memaparkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebagai syaitan. – KOSMO! ONLINE