BANDAR GAZA – Rejim Zionis memberi amaran akan meningkatkan pengeboman di Semenanjung Gaza, beberapa jam selepas kumpulan pertama trak bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin tiba dari Mesir.
Tentera Israel berkata, ia menyasarkan untuk mengurangkan ‘risiko’ yang perlu dihadapi askarnya ketika memasuki fasa baharu serangan ke atas Gaza.
Berpuluh-puluh ribu askar Israel telah dikerahkan ke sempadan Gaza menjelang bermulanya serangan darat yang menurut pegawai, akan bermula tidak lama lagi.
Ia dilakukan di tengah-tengah desakan dunia yang menuntut agar serangan ke atas penduduk Palestin dihentikan dalam operasi Israel yang disifatkan sebagai satu bentuk pembunuhan beramai-ramai.
“Bermula hari ini, kami akan meningkatkan serangan.
“Kami akan memulakan fasa (serangan) seterusnya dalam keadaan yang kami mahukan, bukan dengan menuruti arahan pihak lain,” kata jurucakap askar Zionis, Daniel Hagari.
Pengeboman tanpa henti oleh Rejim Zionis telah mengorbankan sekurang-kurangnya 4,300 penduduk Gaza dengan kebanyakannya orang awam, demikian menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.
Israel turut memotong bekalan makanan, air, elektrik dan bahan api kepada wilayah yang padat dengan 2.4 juta penduduk itu, sekali gus mencetuskan ancaman malapetaka kemanusiaan. – AFP