BANDAR GAZA – Pemimpin-pemimpin dunia menyatakan bahawa lebih banyak bekalan diperlukan untuk menangani malapetaka kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang didiami lebih dua juta penduduk, ketika kumpulan pertama trak membawa bantuan dari Mesir memasuki wilayah itu semalam.
Stesen penyiaran CNN melaporkan, kemasukan trak bantuan itu akhirnya diluluskan dua minggu selepas Israel melancarkan kepungan penuh ke atas Semenanjung Gaza sebagai tindak balas kepada serangan pejuang Hamas.
Trak-trak itu melalui lintasan Rafah, satu-satunya pintu masuk ke Gaza yang tidak dikawal oleh Israel. Lintasan itu ditutup dengan pantas selepas 20 trak itu dipandu masuk.
Sukarelawan organisasi bantuan yang menunggu kelulusan selama beberapa hari di sempadan sebelah Mesir gembira apabila lintasan itu dibuka.
Mereka meraikan kejayaan dengan berteriak dan bernyanyi.
Menurut pihak berkuasa Mesir di lintasan Rafah, 13 trak yang dibawa masuk ke Gaza itu membawa ubat dan bekalan perubatan, lima membawa makanan dan dua lagi membawa air.
Pekerja bantuan berkata, ia hanya sebahagian kecil daripada bekalan yang diperlukan oleh 2.2 juta penduduk yang bersesak di Gaza di bawah sekatan yang dikenakan oleh Israel.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Martin Griffiths berkata, penghantaran itu disusuli hari-hari rundingan yang mendalam dan sengit.
Situasi kemanusian di Gaza telah mencapai tahap malapetaka.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), keadaan menjadi lebih teruk saban hari dengan hospital berada di tahap terburuk, manakala penduduk Gaza cepat kehabisan makanan, air dan bekalan kritikal lain di tengah-tengah pengeboman berterusan oleh Israel.
Kementerian Kesihatan di Gaza berkata, konvoi bantuan itu hanya membentuk tiga peratus daripada keperluan kesihatan dan kemanusiaan harian yang memasuki Semenanjung Gaza sebelum pencerobohan. – Agensi