fbpx

KL mahu kembalikan status gergasi hoki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain KL meraikan kejayaan bergelar juara Piala Tun Abdul Razak 2023 selepas aksi final di Stadium Hoki Nasional semalam. - MUHAMMAD IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL), I. Vikneswaran memuji semangat juang dan karakter barisan pemainnya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menjuarai saingan Piala Tun Abdul Razak 2023.

Walaupun dua kali ketinggalan kepada Melaka tetapi ia tidak mematahkan semangat KL untuk menang 4-2 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas terikat 2-2 dalam tempoh 60 minit aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam.

Kejayaan itu menamatkan penantian 12 tahun KL untuk bergelar juara sejak 2011, sekali gus menjulang trofi berprestij tersebut buat kali ke-19 dalam sejarah.

“KL pasukan muda dan dibarisi ramai pemain belasan tahun. Sasaran awal kita tiga hingga lima tahun tetapi progesnya berjalan dengan sangat bagus terutama semangat dan pemahaman mereka.

“Apabila kita di bawah, kita berjuang balik. Semangat, karakter dan sikap mereka tidak menyerah kalah adalah kunci kemenangan malam ini (semalam).

“Saya adalah jurulatih KL ketika kali terakhir kita menang pada 2011. Harapan kami di Persatuan Hoki Kuala Lumpur mahu pemain-pemain muda ini berjaya di peringkat umur mereka dan juga senior,” katanya selepas tamat final semalam.

Melaka membuka tirai jaringan menerusi gol padang Amirullah Zainol (m-12) sebelum KL menyamakan kedudukan melalui kapten, Zulpidaus Mizun pada minit ke-28.

Amirullah memastikan skuad bimbingan Nor Ikhram Sulaiman itu kembali mendahului 2-1 (m-33) tetapi Sriraam Vikneswaran menyamakan kedudukan pada minit ke-47 sebelum KL mengesahkan kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti shoot-out.

Tempat ketiga dimenangi Perak selepas menewaskan Pahang 3-1 menerusi penentuan penalti shoot-out setelah terikat 1-1 dalam tempoh 60 minit permainan.

BARISAN pemain Sabah meraikan kejayaan bergelar juara Piala Tun Abdul Razak 2023 selepas aksi final di Stadium Hoki Nasional semalam. – MHC

Sementara itu, Sabah mencipta sejarah muncul juara pertama Piala Tun Abdul Razak kategori wanita selepas menewaskan juara bertahan, Selangor 2-1 pada aksi final, manakala tempat ketiga menjadi milik Melaka hasil kemenangan 2-1 ke atas KL. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI