PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mendapatkan tarikh baharu bacaan kali kedua bagi Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, di Parlimen.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa menegaskan, penetapan tarikh RUU yang turut dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) itu, adalah penentu sama ada ia akan disemak semula atau tidak.
“Insya-Allah kita tunggu. Kita sedang dapatkan tarikh daripada Parlimen. Doakan mudah-mudahan kita dapat buat bacaan kali kedua untuk pembentangan.
“Kita sedang dapatkan tarikh tu sama ada semak ke tidak, kita sedang melihat dengan teliti.
“Seperti yang saya beritahu, kita dah bawa ke Parlimen untuk bacaan kali kedua dan penyata Jawatankuasa Khas Parlimen (JKPK),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Kesedaran Mental Sedunia Peringkat Kebangsaan di Damansara, hari ini.
Terdahulu, Zaliha dilaporkan berkata, RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada 10 Oktober.
Katanya, ia susulan untuk memberi laluan kepada aturan urusan kerajaan lain sebagaimana disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM), dengan dan pembentangan RUU ini akan dibuat dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE