KEDAI serbaneka atau dikenali sebagai convenience store merupakan tempat yang memudahkan urusan orang awam untuk mendapatkan barangan keperluan seperti air mineral, snek dan makanan ringan.
Begitu pun, sebuah kedai serbaneka di China mendapat julukan ‘kedai serbaneka paling menyusahkan’ di dunia, apabila ia dibina betul-betul di tepi tebing gunung yang curam.
Kedai tersebut dibina dengan menggunakan kotak kayu bersaiz kecil yang tergantung di tebing sebuah gunung di Taman Geologi Negara Shiniuzhai, Hunan.
Sesiapa yang mahu mengunjungi kedai serbaneka itu perlu mendaki setinggi 120 meter di tebing gunung tersebut.
Malah, saiznya hanya boleh memuatkan seorang pekerja pada satu-satu masa.
Sama seperti kedai serbaneka lain, kedai tersebut menjual minuman dan snek kepada pendaki yang mahu berehat sebentar selepas penat mendaki.
Seorang pengguna aplikasi sosial popular China, Weibo menyifatkan bahawa lokasi kedai serbaneka itu hanya boleh diakses oleh mereka yang mempunyai tahap kecergasan tinggi.
“Pekerja kedai serbaneka ini pasti merupakan seorang yang mempunyai tahap kecergasan tinggi.
“Ini kerana, mereka perlu mendaki setiap hari untuk pergi ke ‘pejabat’ mereka,” komen salah seorang pengguna Weibo.
Kedai serbaneka itu dipercayai sudah wujud sejak beberapa tahun lalu, namun ia baru tular sejak kebelakangan ini selepas imejnya tersebar dalam media sosial.
Malah, tanda pagar the most inconvenient convenience store (kedai serbaneka paling menyusahkan) mendapat hampir 50 juta ‘likes’ di platform seperti Twitter dan Weibo.
Menurut agensi media China, CCTV, biarpun terletak di lokasi aneh, namun harga barangan seperti air dan snek tidak dijual terlalu tinggi.
Sebotol air mineral di situ dijual pada harga 2 yuan (RM1.30).
Lapor CCTV lagi, seorang pekerja kedai itu yang tidak didedahkan identitinya berkata, kedai serbaneka tersebut tidak menjana keuntungan yang banyak.
“Kedai ini tidak menjana keuntungan yang banyak, namun apa yang boleh saya katakan, pelancong yang datang ke sini sangat bersyukur.
“Ini kerana, terdapat sebuah kedai yang beroperasi di kawasan sebegini.
“Oleh itu, kami berasa bahawa pekerjaan ini amat bermakna,” katanya.
Hanya seorang pekerja sahaja yang ditempatkan di kedai tersebut dan tugas utamanya adalah untuk memastikan bekalan minuman dan snek yang dijual sentiasa mencukupi.
Setiap pagi, sebelum matahari terbit, pekerja yang bertugas pada hari itu akan meletakkan stok barangan di kedai tersebut.
Pekerja baharu yang pertama kali memulakan tugas di kedai tersebut sering berasa gementar kerana terpaksa bekerja di kawasan sedemikian.
“Setiap pekerja baharu pasti takut untuk mula bekerja di sini, namun mereka biasanya akan cepat membiasakan diri.
“Di sini, kami hanya ada satu isu sahaja iaitu jika kami mahu ke tandas.
“Untuk pergi ke tandas, kami perlu turun ke kaki gunung.
“Oleh sebab itu, kami cuba tidak minum air terlalu banyak bagi mengelak pergi ke tandas dengan kerap,” kata salah seorang pekerja kedai tersebut.
Untuk makluman, Taman Geologikal Negara Shiniuzhai merupakan lokasi yang popular dalam kalangan pelancong tempatan dan asing. Ini kerana, pemandangan di kawasan berkenaan sangat cantik.
Menurut CCTV lagi, kedai serbaneka itu dibuka sejak 2018, namun pernah ditutup seketika akibat pandemik Covid-19.