LONDON – Kelab Liga Arab Saudi, Al Ettifaq dilaporkan bersedia untuk menawarkan pra kontrak buat bekas pemain Manchester United dan Nottingham Forest, Jesse Lingard sebelum menandatanganinya secara tetap pada jendela perpindahan musim sejuk Januari ini.
Bekas pemain England itu menyertai skuad kendalian Steven Gerrard menjalani sesi latihan bulan lalu dan masih sedang mencari pasukan baharu untuk meneruskan kariernya.
Bagaimanapun, tempoh sesi latihan bersama Al Ettifaq itu berjaya memikat hati Gerrard untuk membawa masuk Lingard memperkuatkan pasukan tersebut biarpun sudah memiliki Jordan Henderson dan Gini Wijnaldum.
Pakar perpindahan pemain, Fabrizio Romano turut mengesahkan bahawa dua bekas pemain Liverpool berkenaan memainkan peranan penting untuk memujuk Lingard menerima tawaran kontrak bagi menyertai pasukan berkenaan biarpun Lingard masih belum membuat sebarang keputusan setakat ini.
Lingard menyertai Forest dengan kontrak semusim selepas meninggalkan Old Trafford musim lalu, namun dia gagal untuk menarik perhatian Steve Cooper untuk terus melanjutkan kontraknya apabila sekadar membuat 17 penampilan.
Pemain berusia 30 tahun itu sebelum ini turut menyertai sesi latihan bersama West Ham United yang merupakan pasukan yang pernah disertai secara pinjaman pada 2021 dan mempamerkan aksi cemerlang ketika itu apabila meledak sembilan gol dan membuat lima umpanan gol.
Bagaimanapun, pengendali West Ham, David Moyes membuat keputusan untuk tidak menandatangani khidmatnya menyebabkan dia kini dikaitkan menyertai Al Ettifaq yang turut memiliki beberapa lagi pemain import antaranya, Demarai Gray dan Moussa Dembele yang membantu pasukan itu berada di kedudukan ketujuh liga menerusi 17 mata selepas 10 perlawanan. – KOSMO! ONLINE