fbpx

EPL: Ratcliffe mungkin hadkan kuasa Ten Hag

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEN HAG ketika ini memiliki kuasa untuk menentukan proses pembelian pemain, namun perubahan pengurusan United selepas kemasukan Ratcliffe mungkin menyebabkan berlakunya perubahan. - AFP

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag menegaskan, beliau tidak tahu-menahu mengenai urusan pembelian saham kelab itu oleh Sir Jim Ratcliffe yang dikatakan semakin hampir dimuktamadkan.

Ratcliffe bersama konsortium yang mendapat sokongan syarikat INEOS dijangka membeli 25 peratus saham The Red Devils dan mungkin memiliki kuasa untuk membuat keputusan berhubung urusan jual beli pemain.

Buat masa ini, Ten Hag memiliki kuasa penuh dalam menentukan pembelian pemain dan beliau masih belum dimaklumkan mengenai perubahan yang bakal menyaksikan keistimewaan tersebut mungkin terlucut.

“Sebenarnya saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini kerana langsung tidak terlibat dalam urusan tersebut. Saya serahkan perkara ini kepada orang lain yang memiliki kuasa untuk buat keputusan.

“Apa yang paling penting sekarang adalah saya hanya perlu berikan fokus terhadap aksi di dalam padang. Itu adalah tujuan utama saya ketika datang ke sini, jadi saya tidak mahu terganggu dengan isu lain,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui pemainnya, Victor Lindelof berada dalam keadaan tenang meskipun berdepan insiden mengejutkan ketika dua penyokong Sweden ditembak mati ketika aksi kelayakan Euro 2024 menentang Belgium di Brussels Selasa lalu.

“Sebagai kapten pasukan Sweden, sudah tentu ia pengalaman yang sukar untuk Victor (Lindelof) sehingga menyebabkan dia tidak nyenyak tidur. Bagaimanapun, dia sudah dapat atasinya dan berada dalam keadaan baik,” ujar Ten Hag. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI