SHAH ALAM – Kerajaan Persekutuan perlu menumpukan kepada kerja sewajarnya dalam mengatasi pelbagai masalah rakyat ketika ini.
Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang janji juga perlu dilaksanakan dan tidak berakhir hanya sekadar ucapan sahaja.
“Ada banyak masalah (rakyat) di negara kita. Maka kerajaan pusat yang memerintah di ketika ini perlu buat perancangan. Bukan duduk terbang ke sana ke mari. Kejap ke Amerika, Dubai, Arab Saudi, China (tetapi) tidak selesai masalah rakyat.
“Kena duduk dan tengok masalah rakyat, bukan sekadar bercakap. Ini orang kata, kalau bercakap (disambut orang ramai dengan perkataan bohong),” katanya ketika berucap pada program Pidato Empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69, malam tadi.
Ahmad Samsuri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang turut menyindir kerajaan ketika ini yang terlalu kompleks dengan formula mereka.
“Tugas memerintah negeri dan negara, kena duduk dan berbincang, bercakap dan melaksanakan apa yang dicakapkan. Bukan sekadar bercakap dan berjanji, perkara ini mudah sahaja.
“Tetapi banyak sangat dalam kepala nak buat sampai tidak boleh buat apa, maka akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE