PETALING JAYA – Kemalangan sebuah treler dan sebuah lori kilometer di (KM) 241.9 Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Pedas Linggi menghala ke Senawang mengakibatkan semua lorong terhalang.
Menurut Astro Radio Traffic, kemalangan tersebut yang berlaku pada lewat petang tadi turut menyebabkan trafik terhenti hampir tiga jam.
“Pengguna disaran keluar di Simpang Ampat dan menggunakan laluan alternatif,” katanya dalam hantaran di aplikasi X sebentar tadi.
Dalam pada itu, seorang pengguna lebuh raya, Faridah Abd Karim berkata, dia sekeluarga telah terperangkap dalam kesesakan bermula pukul 7.30 malam tadi.
“Trafik mula sesak sejak dari itu dan sehingga sekarang kami masih tidak bergerak. Ramai di antara kami dah padamkan enjin kenderaan.
“Buat masa sekarang, nak patah balik atau guna laluan lain pun tak boleh dah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, Plus Malaysia dalam kenyataan memaklumkan bahawa lorong kanan sudah mula dibuka, namun trafik dilaporkan masih sesak sepanjang 8 km arah utara. – KOSMO! ONLINE.