JAKARTA – Seorang lelaki di Bogor, Indonesia sampai hati memukul isterinya selepas mangsa melarangnya bermain aplikasi TikTok, lapor laman berita Suara.com.
Ketua Polis Daerah Bojonggede, Robinson berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan) kelmarin di rumah pasangan tersebut.
Berdasarkan keterangan anak perempuan pasangan itu, N, 11, perbalahan bermula apabila ibunya yang dikenali sebagai El melihat akaun TikTok bapanya, Adi Pratama.
Melalui akaun TikTok tersebut, El mendapati Adi sering melihat akaun bekas kekasihnya yang sudah meninggal dunia.
“Adi melihat akaun perempuan yang dikenali mangsa sebagai bekas kekasih suaminya, namun sudah meninggal dunia,” kata Robinson.
Akibat cemburu, El melarang Adi menggunakan TikTok melalui aplikasi Whatsapp.
Adi kemudian pulang ke rumah sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan) di mana dia segera menyerang isterinya.
“Dia memarahi isterinya kerana cemburu dengan wanita yang sudah mati, memukul dan mencengkam mangsa berulang kali selain menghantuk kepala mangsa pada dinding,” tambah Robinson.
Setelah puas mendera isterinya, Adi segera melarikan diri dari rumah dan meninggalkan isterinya yang cedera.
“Selepas dipukul, mangsa mengalami pening dan muntah. Sekitar pukul 9.30 malam (waktu tempatan), keluarganya membawanya ke Hospital Wilayah dan dia disahkan meninggal dunia,” jelas Robinson.
Sehari selepas kejadian, Adi ditahan polis di Daerah Cibinong. – Agensi