fbpx

K2

Tenang garapan konsep moden minimalis, muji dan industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rona putih yang mendominasi ruang mencetuskan kedamaian.

GABUNGAN tema moden minimalis dan muji sering menjadi pilihan pemilik kediaman untuk diterapkan pada rumah mereka.

Konsep itu juga membuatkan kediaman tampak lebih ‘clean’ dan damai, sesuai untuk melepaskan lelah selepas seharian bekerja.

Muji merupakan konsep hiasan dalaman yang berasal dari Jepun, namun kian popular dalam kalangan pemilik kediaman di negara ini.

Keluarga Nor Ain Nordin memilih tema tersebut pada kediaman milik mereka dengan paduan warna putih dan rona-rona tanah berserta suntikan konsep industri.

“Ketika mengubah suai kediaman ini, saya memilih kombinasi warna putih dengan coklat kayu.

“Suami pula amat menyukai konsep industri, maka kami sepakat untuk meletakkan rona hitam pada dekorasi kediaman ini,” ujarnya.

Selain rona hitam, elemen industri turut diterapkan dengan penggunaan meja bar di sebelah ruangan meja makan utama.

Rona kelabu simen yang digunakan pada meja tersebut tampak sesuai dengan konsep kediaman yang dipilih Nor Ain dan suami.

Apabila melangkah masuk ke kediaman Nor Ain yang terletak di Hulu Langat, Selangor limpahan rona putih menerpa anak mata, menjadikan kawasan kediaman tampak luas.

Sofa rona sama dipilih sebagai titik tumpuan pada ruang tamu yang merupakan ruang kegemaran Nor Ain untuk bersantai bersama keluarga.

Warna coklat lembut mendominasi bahagian lantai ruang tamu, sekali gus menyerlah estetika muji.

Hiasan berupa pokok-pokok tiruan daripada rona coklat juga dipilih sebagai penyeri ruang sekali gus menyerlahkan elemen semula jadi pada kediaman.

Bagi ruangan makan keluarga pula, Nor Ain memilih meja makan bulat yang cukup ringkas. Ia kemudian dipadankan bersama kerusi makan rona putih dengan rekaan moden.

Jelas Nor Ain, meja tersebut sebenarnya sudah lama dibeli, ketika dia masih mendiami rumah lama dengan ruangan yang terhad.

“Ramai juga yang bertanya kepada saya tentang meja itu.

“Meja itu sebenarnya merupakan meja makan terpakai atau ‘second hand’ yang saya beli di Galaxy Ampang. Ketika itu, saya fikir saiz meja itu cukup sesuai dengan ruangan terhad yang ada di rumah kami.

“Namun, sudah semestinya saya mempunyai perancangan untuk menukar meja makan ini kepada yang lebih besar kelak, namun buat masa ini, saya beri masa kepada meja ini untuk terus berkhidmat buat keluarga kami,” katanya.

Menjengah ke ruangan dapur pula, Nor Ain masih mengekalkan limpahan rona putih pada ruangan itu bagi menyuntik kesenadaan.

Biarpun keluasan dapurnya agak terhad, namun susunan yang kemas menjadikan dapur kelihatan tidak serabut.

Jelas Nor Ain, dia sukakan ruangan dapur yang bersih memandangkan dia paling banyak menghabiskan masa di situ, terutamanya pada musim cuti sekolah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI