SHAH ALAM – “Kemuka bukti aku caci Perdana Menteri”. Itu cabaran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menuduhnya melakukan cacian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kata Muhammad Sanusi, tindakan Rayer dianggap tidak wajar selain meminta bertemu empat mata dengan beliau.
“Janganlah lalak di Parlimen menuduh orang mencaci Perdana Menteri. Dak, saya tidak mencaci. Tetapi saya hairan pasai apa berani (cakap) belakang.
“Ahli Parlimen Jelutong (Rayer), kalau hang jantan mai depan aku. Hang jangan duk salak (bising) duk belakang itu.
“Bagi dia dengar. Aku nak tahu hang tuduh aku caci Perdana Menteri, caci tang mana. Apa yang aku caci, hang bawa mai. Butirannya apa, bila, aku kata apa,” katanya ketika berucap pada program Pidato Empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69, malam tadi.
Sebelum ini, Rayer dilaporkan menyatakan Anwar enggan berjumpa dengan Muhamad Sanusi disebabkan Menteri Besar Kedah tersebut selalu mencaci maki Perdana Menteri. – KOSMO! ONLINE