fbpx

Penyelarasan harga kawalan benih padi tidak mampu ringankan beban pesawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekumpulan pesawah pada Demonstrasi Keluhan Petani di Kampung Teluk Jamat di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Tindakan kerajaan melaksanakan penyelarasan harga kawalan maksimum baharu bagi program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) berkuat kuasa semalam dilihat tidak mampu meringankan beban pesawah, ketika ini.

Golongan tersebut dikatakan dihimpit pelbagai isu serta tekanan berikutan peningkatan kos input pertanian.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, ketetapan dibuat Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu tidak seimbang dengan pengumuman dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan harga lantai belian padi dalam Belanjawan 2024, baru-baru ini.

“Apabila Perdana Menteri mengumumkan harga lantai belian padi dinaikkan, itu bermakna pendapatan petani meningkat 10 sen bagi setiap kilogram padi yang dijual kepada pengilang. Maka peratusan peningkatan pendapatan untuk petani adalah 8.4 peratus.

“Tetapi semalam Menteri KPKM, Datuk Seri Mohamad Sabu umumkan harga maksimum benih padi di peringkat runcit meningkat pula daripada RM35 kepada RM45 per kampit 20 kilogram. Itu bermakna berlaku kenaikan kos 50 sen atau 30 peratus untuk setiap kilogram padi benih yang perlu dibeli petani pada setiap awal musim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Demonstrasi Keluhan Petani di Kampung Teluk Jamat di sini hari ini.

Menurut Abdul Rashid, jumlah kos yang terpaksa ditanggung pesawah termasuk sewaan jentera, racun dan pelbagai input pertanian lain tidak berbaloi dengan peningkatan harga lantai belian padi tersebut.

Berikutan keadaan itu Abdul Rashid berkata, kalangan petani sekali lagi mendesak supaya kerajaan menilai semula harga lantai belian padi supaya dapat ditetapkan pada kadar sekurang-kurangnya RM1,500 per tan metrik. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI